Suasana dan gelagat pelajar darjah lima dan enam di hari pertama persekolahan semasa rogram 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

SHAH ALAM – Bercampur baur. Ada seronok dan tidak kurang juga ada yang bersedih atau belum bersedia untuk datang ke sekolah.

Demikian antara reaksi murid sekolah rendah apabila sesi persekolahan yang tertangguh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan mula dibuka hari ini untuk murid Tahun 5 dan Tahun 6.

Bagaimanapun, tinjauan Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6 Shah Alam pagi ini melihat keceriaan jelas terbayang pada wajah murid setelah empat bulan tidak bertemu dengan kawan sekolah.

Kedatangan mereka bermula jam 6.45 pagi itu, dihantar oleh ibu bapa masing-masing dengan beberapa guru bersedia di pintu masuk sekolah untuk memeriksa suhu badan murid.

Guru Sekolah memeiksa suhu badan pelajar sebelum di benarkan masuk ke sekolah pada hari pertama persekolahan semasa rogram 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

Seorang murid, Dayyan Ahmad Afzal, 12, ketika ditemui menyatakan rasa seronok dan terkejut apabila dimaklumkan oleh guru beberapa hari lalu, sekolah akan dibuka sesi pengajian hari ini.

Pelajar, Dayyan Ahmad Afzal, 12, sedang bercakap dengan media di hari pertama persekolahan bagi darjah 5 dan 6 di program 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

Katanya, sepanjang empat bulan ‘bercuti’ kerana sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19, beliau menghabiskan banyak masa dengan buat kerja rumah dan bermain permainan dalam telefon bimbit.

“Bila cikgu beritahu ayah, sekolah akan dibuka 15 Julai, saya rasa gembira tapi ada juga rasa terkejut, sebab lama sangat tidak pergi sekolah.

“Seminggu sebelum sekolah buka, emak ayah bawa saya ke kompleks beli belah. Lama sangat terkurung di rumah sehingga PKPP, saya adik beradik dibawa bersiar-siar,” katanya ketika ditemubual di sekolahnya hari ini.

Jelas murid Tahun 6 Optimis itu, dia dikejutkan dari tidur oleh ibunya kira-kira jam 5.30 pagi tadi dan badan terasa penat kerana kebiasaannya bangun lewat.

“Mula-mula tu rasa penat (malas) tetapi selepas mandi, badan rasa segar dan tidak sabar pula nak ke sekolah jumpa kawan-kawan,” katanya yang mengikuti pembelajaran mengenai SOP pada hari pertama persekolahan hari ini.

Nina Najwa Jasin, 12, pula berkata, sepanjang PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (Pemulihan), dia banyak menghabiskan masa menyiapkan kerja sekolah yang diadakan secara atas talian oleh pihak sekolah.

Pelajar, Nina Najwa Jasri, 12 sedang bercakap dengan media di hari pertama persekolahan bagi darjah 5 dan 6 di program 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

Di samping itu, dia juga belajar memasak dengan ibunya selain menonton drama di televisyen.

“Gembira ada, sedih pun bila diberitahu sekolah akan dibuka hari ini. Sampai di pekarangan sekolah pagi ini pun agak lewat sedikit dan terus masuk kelas berbual dengan kawan-kawan.

“Suka jumpa kawan sekelas di sekolah. Lama tak jumpa, tengok mereka. Hari ini baru boleh lepas rindu,” katanya yang belajar di Tahun 6.

Sementara itu, rakannya, Aqila Marissa Sabri, 12, ketika ditemui berkata, dia sampai ke sekolah kira-kira jam 7.30 pagi, agak lewat dari sebelumnya.

Pelajar, Aqilea Marissa Sabri, 12 sedang bercakap dengan media di hari pertama persekolahan bagi darjah 5 dan 6 di program 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

Katanya, hari pertama sekolah dalam tempoh PKPP agak janggal kerana hendak masuk ke sekolah, guru memeriksa suhu badan, memakai pelitup muka dan ketika berada dalam kelas, mejanya dijarakkan sejauh satu meter dari rakan-rakan sekelas.

“Masuk kelas, guru mengajar mengenai cara mematuhi SOP sepanjang berada di kelas, cara pergaulan yang terhad dan tidak boleh pergi ke kantin pada waktu rehat. Makanan dan minuman disediakan oleh pihak sekolah.

“Sebelum masuk kelas pun kena bersih tangan dengan sanitizer yang disediakan oleh sekolah di depan kelas,” katanya.

Ditanya apa aktiviti sepanjang empat bulan di rumah, Aqila Marissa yang tinggal di Seksyen 7 memberitahu, dia melakukan kerja rumah, mengulang kaji pelajaran dan bermain sesama adik beradik. – MalaysiaGazette