Saksi, Rayyan Radzwill Abdullah ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-15 kes rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dikaitkan dengan Datin Rosmah Mansor membuat pendedahan ketika soal balas pembelaan sebentar tadi.

Saksi, Rayyan Radzwill Abdullah mendakwa bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebenarnya yang bertanyakan tentang ‘political donation’ sebagai balasan jika projek bilion ringgit di berikan melalui rundingan terus kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Rayyan yang juga merupakan rakan perniagaan kepada  Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings telah bersama-sama bertemu, berunding dengan pelbagai individu bagi mendapatkan projek solar ini.

Ketika di soal balas oleh peguam bela, Datuk Akberdin Abdullah sejurus selepas Rayyan selesai membacakan kenyataan saksinya, beberapa kali ahli perniagaan itu memetik nama Rizal berbanding yang lain.

Akberdin: Lepas tiada ‘feedback’ dari KPM, Saidi telah buat keputusan untuk berjumpa Rizal Mansor. Dalam perjumpaan di Sunway Putra Mall itu, Saidi telah maklumkan kepada Rizal bahawa dirinya berhasrat membuat tawaran ‘political donation’ melalui Datin Rosmah untuk Datuk Najib untuk BN menang pada GE14.

Rayyan: Tidak setuju. Saidi tawar untuk projek tapi Rizal yang minta sumbangan politik tersebut.

Akberdin: Kamu berdua terhutang budi kepada Datuk Seri Najib atas minit yang diberikan. Rasa ‘grateful’ betul?

Rayyan: Benar.

Akberdin: Kamu tidak mahu ganggu Perdana Menteri, Najib Razak sebaliknya berhasrat beri sumbangan politik melalui Datin Rosmah, adakah itu yang telah dicadangkan oleh kamu ketika pertemuan dengan Rizal di Sunway Putra?

Rayyan: Bukan ganggu tapi tidak boleh ‘approach’ PM. Jadi terpaksa melalui Rizal untuk mendekati Datin Rosmah.

Akberdin: Ini semua setakat cadangan kamu berdua kepada Rizal, belum lagi sempat bertemu Datin Rosmah, betul?

Rayyan: Setuju.

Akberdin: Rizal untuk pertama kalinya menyebut ‘political donation’ yang kemudian dipersetujui oleh Saidi dan kamu? Setuju?

Rayyan: Setuju.

Sebenarnya perkataan sebetulnya adalah ‘komisyen’ tapi tidak cantiklah. Jadi cakap sumbangan politik.

Akberdin: Saidi tanya kepada Rizal, berapa hendak ‘offer’?

Rayyan: Ya betul.

Akberdin: Rizal telah menyatakan kepada Saidi, ‘kau start dengan 10 peratus dan berhenti pada 15 peratus’? Anda ada sebut ini dalam kenyataan kamu bukan?

Rayyan: Benar.

Akberdin: Setuju dengan saya 10 peratus sumbangan politik datang dari mulut Rizal buat kali pertama? Setuju?

Rayyan: Setuju.

Akberdin: Pada ketika itu, surat sokongan sudah dapat, sumbangan politik serta peratusannya ini semuanya idea Rizal Mansor?

Rayyan: Betul. Setuju

Akberdin: Tapi Saidi kata tidak mampu bayar 15 peratus itu tinggi?

Rayyan: Bukan pada mesyuarat tersebut.

Saksi juga membuat pendedahan Rosmah telah dibayar sebanyak RM6.5 juta melalui dua pembayaran atas peranannya membantu Jepak Holdings manakala Rizal pula diberikan ‘hadiah’ wang tunai RM500,000.

Jelas Rayyan, kedua-dua bayaran tunai iaitu RM5 juta dan RM500,000 dibuat sebelum Jepak menerima bayaran pertamanya untuk projek solar.

Selepas itu pada Julai 2017 dakwa Rayyan, Saidi memberitahunya melalui ‘whatsapp’ bahawa Jepak menerima bayaran untuk projek solar dan penyelenggaraan set generator disel bernilai kira-kira RM63 juta.

Kemudian pada 7 September 2017, Saidi dan Rayyan melalui Rizal telah mengadakan pertemuan dengan Rosmah di kediamannya di Langgak Duta bagi menyerahkan bayaran kedua sebanyak RM1.5 juta.

Dakwa Rayyan, Rosmah tidak kelihatan terkejut dengan kehadiran dua beg hitam berjalur jingga yang isinya wang tunai di ruang tamu beliau sambil ditemani Rizal sebaliknya hanya menyebut ‘oklah’.

Dalam pada itu, Rayyan juga mendedahkan sehingga kini Jepak Holdings tidak menjalankan projek tenaga solar itu walaupun telah menerima bayaran kira-kira RM63 juta daripada kerajaan Malaysia.

Malah dirinya pernah dibayar RM1 juta oleh Saidi kerana kerja ‘konsultansi’ mendapatkan projek ini untuk Jepak Holding selain menjanjikan RM10 juta lagi untuknya.

“Bagaimanapun, Saidi tidak pernah memberikan RM10 juta itu kepada saya sehingga hari ini,” ujarnya.

Rayyan berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Ini merupakan kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak ketika itu melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Rosmah ketika ini sedang berdepan dengan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi bagi dan pemasangan tenaga solar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. –MalaysiaGazette