Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Mesyuarat Pemuda Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 15 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) berpendirian Parlimen tidak wajar dijadikan pentas saling maki memaki tanpa adab.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pihak tidak pernah merelakan apa yang berlaku.

“Parlimen mulia tempat di mana suara rakyat dihujah berasaskan fakta bukan auta bukan menjadikan emosi mengaburi perkara yang dibincangkan,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda BN di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas senario yang berlaku sejak dua hari lalu di Parlimen sehingga berlaku maki memaki sesama ahli Parlimen semasa persidangan.

Asyraf Wajdi mahu kedua-dua belah pihak sama ada kerajaan dan pembangkang mengelakkan berlaku situasi maki memaki dalam Parlimen.

“Jadikan satu iktibar, saya harap, Pemuda BN harap sidang Parlimen kali ini berjalan aman elak perkara saya sebut tadi.

“Berhujahlah dengan penuh adab dan beradab, fakta bukan auta,” ujarnya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Terdahulu, Asyraf Wajdi meluahkan rasa bosan anak-anak muda dengan politik haru biru di negara ini terutama sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka tidak mahu politik berteraskan kaum walaupun tidak dinafikan soal-soal asas kepentingan negara.

“Sepanjang 22 bulan (pemerintahan PH) isu pekauman timbul kerana kerajaan waktu itu cuba perkenalkan polisi yang robek,” dakwanya.

Beliau mengulangi contoh isu kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohamed dijadikan pimpinan DAP mengapi-apikan isu perkauman.

Justeru, Pemuda BN hari ini bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi memberikan cadangan kepada kerajaan berkaitan ekonomi anak muda pasca Covid-19.

Jawatankuasa itu kelak akan memberi cadangan bagi merungkai masalah ekonomi anak muda dan berharap ia dimasukkan dalam Bajet 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 kelak.

Bagi tujuan itu, pihaknya akan bergerak mulai minggu depan bagi bertemu kelompok NGO, persatuan beliau untuk mendapat maklum balas.

“Kami juga sepakat jadikan agenda kembalikan nilai-nilai Malaysia yang asal bukan Malaysia Baru yang dirosakkan oleh PH terutama akar-akar yang bina asas-asas negara ini dirobek khusunya dalam hubungan kaum dan agama,” katanya.- MalaysiaGazette