KUALA LUMPUR – Hukuman lebih berat bakal diterima kepada pemandu mabuk!

Mereka yang bersalah mungkin akan dipenjara maksimum selama 20 tahun dan didenda sehingga RM150,000.

Semua itu akan berlaku jika pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan Dewan Rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

“Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.

“Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.

“Tempoh penggantungan lesen juga dicadang dinaikkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ka Siong, langkah memaksimumkan hukuman dan denda itu turut dipersetujui secara dasar oleh Jemaah Menteri pada 24 Jun lalu.

Katanya, tindakan itu dilakukan bagi menjadikan satu bentuk detoran dan pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Sementara itu, Ka Siong pada sidang medianya selepas itu berkata, beliau akan menjelaskan secara terperinci di Dewan Rakyat mengenai langkah yang akan diambil oleh pihak berkuasa sekiranya pindaan akta itu diluluskan.

Katanya, ia termasuk hukuman yang juga akan dikenakan kepada pemandu mabuk yang cuba menggunakan taktik tertentu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa meskipun mereka menyedari ada melakukan kesalahan.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan berkompromi lagi dalam hal tersebut kerana musibah yang berlaku berpunca daripada pemandu mabuk memberikan kesan berpanjangan kepada waris jika mereka meninggal dunia dalam kemalangan.

Sebelum ini, Ka Siong menyatakan Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bakal menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan kepada individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau secara berbahaya.

Katanya, draf pindaan Akta 333 akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara serta serta kementeriannya selain hasilnya adalah bersandarkan hasil pungutan suara diterima daripada 345,021 responden melalui proses pungutan suara yang dilakukan. – MalaysiaGazette