Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib beramah mesra bersama pelajar darjah 6 selepas hadir ke program 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

SHAH ALAM – Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan kesihatan anak mereka yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini kerana guru akan sentiasa memantaunya.

Tindakan mengikut peraturan sekiranya ada dalam kalangan mereka bergejala.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib sendiri bersama pegawainya turun padang meninjau semua sekolah menengah dan rendah di sini hari ini bagi memastikan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi.

“Pagi ini, saya turun padang pantau permulaan sesi persekolahan peringkat sekolah rendah dan hari ini hanya dibuka untuk murid Tahun 5 dan Tahun 6.

“Sepanjang tinjauan dan pemantauan ini, saya berpuas hati dari segi pematuhan SOP di peringkat sekolah. Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau kesihatan anak mereka di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan hari pertama sekolah rendah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6  hari ini.

Turut mengiringi beliau dan memberi taklimat mengenai sesi persekolahan, guru besar sekolah berkenaan, Ani Meh.

Seramai 312 murid Tahun 5 dan Tahun 6 memulakan pembelajaran mereka hari ini dengan pihak sekolah membuka masing-masing empat kelas untuk keselesaan, termasuk mematuhi penjarakan sosial.

Mengenai pemantuan dari semasa ke semasa, Baharudin berkata, pihaknya mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang akan turun ke semua sekolah rendah dan menengah.

“Setakat sekolah menengah dibuka pada 24 Jun lalu, saya tidak ada menerima sebarang laporan berhubung ketidakpatuhan SOP.

“Sekolah benar-benar memberi kerjasama kepada kerajaan mengenai SOP, bahkan kami sering berkomunikasi dengan mereka dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan SOP dipatuhi di semua sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette