Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail

KUALA LUMPUR – Yayasan Selangor amat kesal atas tuduhan-tuduhan berbaur fitnah yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Selangor, Rizami Ismail berhubung aset-aset milik yayasan itu.

Tohmahan yang dibuat secara langsung itu menjejaskan reputasi dan nama baik Yayasan Selangor.

Sehubungan dengan itu, Yayasan Selangor membantah sekeras-kerasnya tuduhan-tuduhan yang dibuat dan menuntut Rizam menarik balik kenyataan berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf kepada Yayasan Selangor.

Sekiranya beliau gagal berbuat demikian di dalam tempoh terdekat, Yayasan Selangor akan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuklah tindakan perundangan bagi menjaga nama baik, reputasi dan imej Yayasan Selangor.

Malah, kenyataan Rizam itu boleh menjejaskan reputasi dan nama baik Yayasan Selangor termasuk Pengurusan Tertinggi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya.

Yayasan Selangor berkata, merujuk kepada kenyataan berkenaan, Rizam beliau telah membuat beberapa tuduhan berbaur fitnah yang tidak benar, mengelirukan dan mencemar imej Yayasan Selangor.

Dalam kenyataan di sini, Yayasan Selangor berkata, ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan tidak mendapat geran daripada pihak kerajaan.

Sehubungan itu, Yayasan Selangor perlu melakukan aktiviti penjanaan dananya sendiri di mana langkah penjualan aset yang dimaksudkan itu, adalah merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan Yayasan Selangor dalam pelan perancangan strategiknya, bagi menjana dana dan pulangan terbaik untuk disalurkan kepada pembiayaan program pendidikan Yayasan Selangor.

Asas penting dalam pelan tindakan strategik Yayasan Selangor adalah kemampanan kewangan untuk memastikan perbelanjaan Yayasan Selangor dikawal dan digunakan dengan penuh cermat dan berhemat.

Di dalam pelan kemampanan kewangan, pelan rasionalisasi dan penyusunan semula aset-aset adalah merupakan suatu aspek yang penting untuk memastikan dana pembiayaan program pendidikan dan kos operasi Yayasan Selangor sentiasa mencukupi dan terjamin, katanya.

Yayasan Selangor telah mengambil tindakan terbaik dan menguntungkan yang mana aset-aset yang kurang strategik dan mempunyai kos penyelenggaraan yang tinggi tetapi memberikan pulangan yang rendah perlu diteliti semula pemilikannya.

Oleh itu, langkah pelupusan aset-aset tersebut telah dikenalpasti sebagai langkah terbaik demi kelangsungan dan keutuhan dana Yayasan Selangor.

Malah, penilaian harta telah dilakukan oleh juru nilai berdaftar dalam menentukan kadar harga jualan aset-aset berkenaan dan tidaklah seperti mana nilaian yang ditohmahkan oleh Rizam.
Sebaliknya, penjualan aset ini telah dibincangkan di Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor dan melalui proses tawaran terbuka seperti mana prosedur yang digunapakai Yayasan Selangor.

Dalam pertimbangan penjualan aset-aset berkenaan, Yayasan Selangor sentiasa mendahulukan pulangan yang terbaik dan proses penjualan yang telus dan terbuka.

Berkenaan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif yang ditimbulkan, Yayasan Selangor berpendirian bahawa pelantikan beliau adalah mengikut peraturan dan skim perkhidmatan yang digunapakai oleh Yayasan Selangor.

Perkhidmatan beliau di organisasi sebelum ini di Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) difahamkan telah selesai dan tidak timbul isu dengan Yayasan Selangor.

Semalam, Rizam mempersoalkan 77 aset hartanah yang telah dilelong oleh Yayasan Selangor menelan belanja lebih daripada RM45 juta, termasuk kondominium, rumah kedai, rumah berkembar dan sebagainya.

Kesemua 77 aset tersebut melibatkan pelbagai jenis bangunan komersial dan unit2 rumah di beberapa lokasi berlainan di seluruh selangor dengan nilai tawaran antara RM191,114 sehingga RM3.515 juta melibatkan jumlah keseluruhan RM45,137,043.92 juta.

Rizam menyifatkan penjualan aset itu sebagai jalan pintas mendapatkan kecairan tunai yang tidak boleh diterima, selain membelakangkan mandat Yayasan Selangor. – MalaysiaGazette