Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini terus komited membasmi kemiskinan yang menjadi agenda utama negara sejak merdeka sehingga hari ini.

Oleh itu, kerajaan menambah baik metodologi pendapatan garis kemiskinan (PGK) 2005 pada metodologi 2019 dengan mengekalkan tiga komponen asas iaitu keperluan makanan dan bukan makanan serta ciri-ciri isi rumah.

Elemen yang diambil kira dalam keperluan makanan dan bukan makanan ditambah baik untuk menggambarkan peningkatan kualiti dalam kehidupan.

Bilangan kalori yang dianggap mencukupi pada tahun 2005, diubahsuai bukan sahaja kandungan kalori tetapi juga keperluan sajian bagi makanan yang lebih seimbang.

Selain itu, corak perbelanjaan telah berbeza seperti kad prabayar dan kos pendidikan yang tidak termasuk dalam senarai barangan bukan makanan pada tahun 2005, hari ini merupakan keperluan
asas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP- Kota Melaka).

Beliau bertanya apakah sebabnya perubahan had PGK daripada RM980 sebulan kepada RM2,208 sebulan dan apakah kesan perubahan ini kepada dasar ekonomi dan sosial kerajaan.

Berdasarkan metodologi PGK 2019, garis kemiskinan seluruh negara berjumlah RM2,208, berbanding dengan PGK 2016 yang mengguna pakai metodologi 2005 iaitu RM980.

Kenaikan ini disebabkan beberapa faktor seperti berikut:

(i) Konsep PGK makanan yang berubah daripada keperluan ‘minimum’ kalori kepada keperluan ‘optimum minimum’ yang menunjukkan peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020;
(ii) bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 telah bertambah dari 106 kepada 146 item; dan
(iii) perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa.

Berdasarkan metodologi PGK 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6% (405,441 isi rumah) pada tahun 2019 berbanding 7.6% (525,743 isi rumah) pada tahun 2016.

Ini menunjukkan dasar dan strategi pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan telah berhasil.

Kerajaan komited dalam melaksanakan program membasmi kemiskinan dan peningkatan pendapatan dalam menangani jurang kekayaan dan pendapatan dalam kalangan rakyat sejajar dengan tiga objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) iaitu Pembangunan Untuk Semua; Menangani Jurang Kekayaan dan Pendapatan; dan Negara Bersatu, Makmur dan Bermaruah.

Ini untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette