Kerajaan Selangor, negeri pertama kuatkuasa larangan merokok dan minum minuman keras di taman awam di seluruh negeri itu.

KUALA LUMPUR –Tindakan kerajaan Selangor mengharamkan merokok termasuk rokok eletronik dan minum minuman keras di taman awam itu wajar dijadikan contoh kepada negeri lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pengharaman merokok dan minum arak di kawasan awam yang menjadi senarai kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Selangor adalah wajar dan tepat.

Katanya, dengan larangan yang berkuatkuasa serta merta bermula 14 Julai lalu itu menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia melarang meminum arak dan merokok di taman permainan serta taman rekreasi di seluruh negeri.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

“Selangor terkehadapan dalam menangani masalah sosial membabitkan kesihatan awam. Ini tanda kerajaan negeri prihatin, mesra rakyat dan serius memastikan kelestarian hidup rakyatnya.

“Saya sendiri pernah membangkitkan isu ini ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 11 November 2019 dan hasilnya tindakan telah diambil pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Selasa lalu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mengumumkan keputusan kerajaan negeri mengharamkan merokok dan minum minuman keras di taman awam di seluruh negeri.

Kata beliau, pada masa ini, senarai kesalahan di UUK Taman tidak dinyatakan berkenaan aktiviti meminum arak dan merokok sebagai satu kegiatan yang dilarang.

Menurut Mohd Fakhrulrazi lagi, tindakan itu tepat memandangkan tempat awam dikunjungi kanak-kanak, orang tua, wanita serta golongan berkeluarga.

Ujarnya, tempat rekreasi awam adalah lokasi sihat untuk masyarakat beriadah, berehat dan bersantai dihujung minggu.

Justeru, tidak sesuai jika kawasan seperti itu dijadikan tempat untuk mabuk dan merokok.

“Mereka yang merokok boleh membahayakan kesihatan golongan lain terutama kanak-kanak, orang tua dan wanita.

“Sementara pemabuk pula dikhuatiri boleh mencederakan pengunjung lain atau merosakkan harta awam di taman rekreasi.

“Sisa rokok, botol atau tin arak yang dibuang di merata tempat pula sangat mencemarkan dan menjijikkan pandangan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Undang2 kecil PBT ni sama taraf dgn larangan beromen di tempat awam ja , bukan ada kesan besar sangat pun pada pelaku , asal boleh bayar ..buat apa pbt lain nk buat contoh ..

Comments are closed.