Syed Ibrahim Syed Noh.

KUALA LUMPUR – Sidang Kamar Khas Parlimen hari ini sebulat suara bersetuju dengan usul khas dibawa Ahli Parlimen Ledang (PH), Syed Ibrahim Syed Noh mengenai isu Palestin.

Usul itu termasuk menggesa kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mendesak agar Israel disingkirkan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usul tersebut dibentangkan sebagai reaksi terhadap pelan damai yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bakal menyaksikan rejim zionis Israel melakukan rancangannya di sebahagian besar wilayah Tebing Barat.

Menurut Syed Ibrahim, ketika usul khas itu dibahaskan, pihaknya berharap semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersatu menunjukkan kesepakatan dan bersuara lantang dalam isu Palestin.

“Israel perlu diusir daripada perhimpunan dan semua agensi PBB memandangkan kegagalan negara itu memenuhi kewajipan dan aku janjinya sebagai anggota PBB seperti yang dinyatakan dalam Piagam PBB.

“Kita juga cadangkan untuk mengadakan petisyen yang ditandatangani semua anggota Parlimen kedua-dua belah pihak sebagai isyarat jelas bantahan Malaysia tentang Israel dan dicadangkan untuk dibawa ke Kedutaan Besar AS, ahli-ahli Parlimen serantau dan negara ASEAN agar kita dapat sokongan dari negara luar.

“Ahli-ahli Parlimen juga perlu memanfaatkan jaringan masing-masing di semua peringkat termasuk antarabangsa supaya kita dapat globalisasikan sokongan Palestin dan kita sentiasa menyokong bantahan terhadap Israel,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul khas daripada pembangkang yang meminta Dewan Rakyat membincangkan pelan damai Trump untuk konflik Israel-Palestin.

Azhar mengumumkan usul Syed Ibrahim yang dibuat pada 14 Julai itu itu dibenarkan dan dibahaskan di kamar khas pada jam 2.30 petang tadi.

Syed Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada kerajaan yang dalam usaha memperjuangkan isu Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Beliau memberitahu, pelan damai berkenaan bukan sahaja ditentang Malaysia malah turut disuarakan negara lain termasuk Perancis dan Kesatuan Eropah.

Katanya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar telah menerangkan tindakan kerajaan Malaysia seperti mengeluarkan kenyataan dan berbincang dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dewan Rakyat benar pembangkang bawa usul khas