Ahmad Zahid mengimamkan solat jenazah Allahyarham Mohd Khusairi di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Jenazah ADUN Slim, Allahyarham Datuk Khusairi Abd. Talib dibawa pulang ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Perak awal pagi tadi, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Bentong, Pahang.

Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil Mohamed Shariff, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Felda Sungai Behrang pada jam 9 pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Behrang.

“Kepada rakan-rakan serta sahabat, Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua-ketua Cawangan serta orang ramai boleh datang menziarahi jenazah mulai jam 7 pagi ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimamkan solat jenazah Allahyarham Mohd Khusairi di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, selepas solat Isyak malam tadi.

“Alhamdulillah selesai solat Isyak, saya mengimamkan solat jenazah sahabat saya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abd. Talib, ADUN Slim, MKT dan juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah,” tulis Ahmad Zahid dalam Facebooknya.

Turut solat jenazah, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Allahyarham dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Bentong pada jam 2.40 petang semalam, kerana pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Resort Golf and Country Resort.

Hasil pemeriksaan Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma Hospital Bentong mengesahkan Mohd Khusairi meninggal dunia pada jam 4.15 petang kerana mengalami serangan jantung. – MalaysiaGazette