Dr. Muhammad Fathi Yusof

KUALA LUMPUR – Pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) tidak perlu diadakan kerana ia membazir duit rakyat, kata Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof.

Beliau berkata, ini terbukti apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyatakan pelaksanaan pilihan raya itu dijangka melibatkan kos kira-kira RM2 juta bagi setiap PBT.

Katanya, jika 154 PBT, bermakna kerajaan perlu menyediakan kos sebanyak RM308 juta untuk keseluruhan proses pilihan raya itu.

“Buat masa ini tidak ada asas kukuh dapat menyokong alasan bagi cadangan menghidupkan semula pilihan raya PBT, kerana yang pastinya ia memerlukan banyak peruntukan dan ini suatu pembaziran duit rakyat.

“Kos RM2 juta setiap PBT itu adalah kos yang sangat minimum. Mungkin kos sebenar jauh lebih tinggi, tambahan pula belum mengambil kira aspek perbelanjaan yang ditanggung oleh parti dan calon yang bertanding,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selasa lalu, Zuraida dilaporkan berkata, kementeriannya telah menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya PBT dalam sidang Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.

Beliau menyatakan, sejak 2018 sehingga kini, kementeriannya masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.

Menurutnya, jawatankuasa polisi terdiri daripada pegawai dan agensi kerajaan untuk mempertimbangkan isu berkenaan perundangan, implikasi kewangan dan kaedah serta mekanisme pelaksanaan.

Bagaimanapun, kenyataannya itu dibantah banyak pihak termasuk pemimpin politik dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Fathi berkata, dalam keadaan negara yang terpaksa melaksanakan langkah perbelanjaan berhemat akibat wabak Covid-19 ini, cadangan berteraskan komitmen parti tertentu itu wajar digugurkan.

“Atau sekurang-kurangnya ditangguhkan kerana ironinya, cadangan itu pernah ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Jika pilihan raya PBT ini diadakan juga, ia akan melemahkan fungsi dan kuasa kerajaan negeri.

“Bahkan, di beberapa negeri, tidak mustahil akan berlaku pentadbiran kerajaan tempatan di ibu negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan sistem federalisme yang mengehadkan kuasa kerajaan negeri kepada skop kuasa yang sedia terhad, kehilangan kuasa langsung ke atas kerajaan tempatan akan melemahkan kerajaan negeri.

Selain itu, jika diadakan juga, timbul persoalan berkaitan siapakah sebenarnya yang layak mengundi.

“Jika kelayakan mengundi hanya diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan dalam sempadan sesuatu kerajaan tempatan, ia merupakan diskriminasi kepada ‘penduduk siang’ iaitu mereka yang datang dari luar, tetapi bekerja di kawasan berkenaan.

“‘Penduduk siang’ ini hakikatnya banyak memberikan sumbangan kepada kemakmuran sesuatu kerajaan tempatan dan akan menerima kesan langsung akibat pembangunan yang dilaksanakan oleh PBT.

“Ringkasnya, tidak ada manfaat yang jelas untuk diteruskan cadangan pilihan raya ini. Kementerian sepatutnya menumpukan usaha untuk membantu dan membimbing usaha meningkatkan kecekapan PBT dari pelbagai sudut termasuklah dalam pengurusan jalan raya, tempat awam dan pengurusan sisa pepejal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Lebih baik sumber kewangan tersebut digunakan naik taraf kemudahan bagi penduduk seperti kutipan sampah, lampu jalan dan taman permainan.

Comments are closed.