Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin menunjukkan barang rampasan semasa di Sidang Media mengenai tangkapan sindiket penipuan pelaburan di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pelaburan dalam talian secara haram, dikenali i-Rakyat Trade, yang telah mengakibatkan kerugian lebih RM200,000.

Sindiket tersebut bergiat aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pengoperasian sindiket yang dianggotai 10 suspek warga tempatan, termasuk seorang wanita, berjaya dicekup dalam satu serbuan pada 14 Julai lalu.

Katanya, suspek yang berusia antara 19 hingga 31 tahun dan sebahagiannya mempunyai pengetahuan tentang perisian dan teknologi maklumat itu ditangkap di sekitar ibu negara iaitu di Sri Petaling, Dang Wangi dan Jalan Kuchai Lama sementara dalang utama yang merupakan warga tempatan sedang diburu.

“Mereka mengambil kesempatan cuba memperdaya mangsa di rumah berkurung akibat PKP supaya terpenhgaruh dengan empat pakej promosi yang tidak wujud untuk pelaburan wang.

“Hasil siasatan ke atas kesemua 10 suspek mendapati, sindiket berkenaan menggunakan Binary Option (Analisis Pelaburan dalam Dark Web) menerusi mereka yang berkepakaran mengendalikan perisian itu dan menggabungkan dengan rangkaian haram yang digunakan dengan laman web pelaburan haram itu untuk memancing mangsa khusus dan berwang banyak yang mudah diperdaya.

“Pakej pertama Pakej Gold bermodalkan RM800 dan boleh mendapatkan pulangan sebanyak RM10,800 dalam dua hari, Pakej kedua Diamond modal RM1,600 (pulangan RM21,600 dalam 48 jam), Pakej ketiga Emerald modal RM2400 (pulangan RM32,400 dalam 48 jam) dan akhirnya Pakej Platinum bermodalkan RM4,800 (pulangan RM52,000 48 jam),”katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Saiful Azly, sindiket itu menjanjikan pelbagai hadiah antaranya kereta mewah Lamborghini, Toyota Alphard, pakej pelancongan dan barangan elektrik bernilai lebih RM100,000.

Ujar beliau, sebanyak 22 individu dikesan menjadi mangsa dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM200,000 setakat ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan bilangan mangsa dan nilai kerugian akan meningkat.

Menurut Saiful Azly, kesemua kenderaan telah dirampas selain komputer, telefon bimbit, mata wang asing dan barang kemas.

Jelasnya, kesemua suspek telah direman tiga hari sehingga esok dan akan disambung reman kerana sebanyak 22 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penipuan pelaburan sindiket tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, sindiket tersebut memberi gaji sebanyak RM10,000 sebulan kepada penyelianya pendapatan ajen pula ialah RM5,000 sebulan, tidak termasuk bonus lima peratus untuk setiap penipuan dan mangsa yang diperdaya.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan kesemua suspek tersebut dan merujuk serta berbincang dengan Peguam Negara untuk menuduh mereka di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain Akta Pengubalan Wang Haram serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2014 untuk memusnahkan sepenuhnya sindiket itu daripada wujud semula,” ujar beliau.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat sindiket penipuan pelaburan haram menggunakan laman media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, WeChat dan Telegram sebagai medium penipuan.

“Terdapat juga keadaan yang mana URL atau link pelaburan online sebenarnya merupakan bentuk pelaburan yang sah tetapi diambil kesempatan oleh sindiket menipu mangsa apabila wang pelaburan tidak masuk ke pelaburan sebenar.

“Nasihat saya kepada orang awam jangan terpedaya dan kehilangan wang dengan penipuan sebegini dan semak dengan JSJK dan Bank Negara mengenai kesahihan sesebuah sindiket pelaburan itu,” katanya. – MalaysiaGazette