NEW DELHI – Pihak berkuasa Bangladesh telah menahan pemilik sebuah hospital yang dikatakan telah menjual ribuan sijil palsu pekerja asing yang menunjukkan keputusan negatif bagi ujian saringan koronavirus.
Pemilik hospital itu cuba menyelinap masuk sempadan India dengan menyamar sebagai wanita.
Polis memaklumkan mereka berjaya menangkapnya – seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohammad Shahed atau Shahed Karim, dengan memiliki senarai rekod jenayah yang panjang.
Ketika ditahan dia memakai burqa hitam yang menutupinya dari kepala hingga kaki.
Selama satu setengah minggu, penyiasat Bangladesh mengumpulkan bukti penipuan hospital Shahed yang menjual sijil ujian saringan Covid-19 palsu pada harga AS$59.
Terdapat pasaran yang besar untuk sijil ini dalam kalangan pekerja migran dari Bangladesh yang mahu kembali bekerja di Eropah untuk bekerja di kedai runcit, di restoran atau menjual air botol di jalanan.
Kebanyakan warga Bangladesh terbang ke Itali dan majikan di sana memerlukan sijil bukti saringan telah dijalankan sebelum memulakan kerja.
Dua doktor lain telah ditangkap dan dituduh menjual ribuan sijil virus palsu di Dhaka.
Pihak berkuasa Bangladesh mengatakan bahawa ejen penguatkuasa khas sedang memburu individu lain yang menjalankan penipuan tersebut.
Bangladesh yang mempunyai 160 juta populasi melaporkan sebanyak 200,000 kes jangkitan Covid-19.
Tetapi dengan virus yang menyebar ke Asia Selatan dan ujian saringan yang rendah di Bangladesh, pakar kesihatan percaya negara ini mempunyai kadar jangkitan yang jauh lebih tinggi daripada angka rasmi. – MalaysiaGazette