Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan terdapat lima kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,546 kes.

Bagaimanapun menurut Noor Hisham, terdapat sembilan kes baharu yang telah dilaporkan setakat jam 12 tengahari, hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,764 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 96 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Daripada jumlah kes positif itu, empat daripadanya adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan tiga warga tempatan dan bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Empat kes import tersebut, dua daripadanya dijangkiti di Indonesia, satu di Singapura dan satu lagi di Pakistan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, lima kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara Malaysia iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China).

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Baki empat kes penularan di dalam negara pula adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Antaranya empat kes itu datang dari Sarawak, di mana satu kes saringan kontak rapat dalam Kluster Mambong.

“Satu kes saringan pra prosedur di Hospital Bau, Kuching dan dua kes daripada Kluster Stutong, iaitu kluster baharu,” katanya.

Sehingga kini, hanya satu kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham juga berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes,” katanya. – MalaysiaGazette