KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 (Tokyo 2020) mengesahkan kesemua 43 tempat dan juga jadual pertandingan ketika sesi Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) secara dalam maya, pada Jumaat.

Presiden Jawatankuasa Penganjur, Yoshiro Mori dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toshiro Muto pada sesi itu berkata, pengesahan tersebut termasuklah Perkampungan Olimpik, Pusat Penyiaran Antarabangsa dan Pusat Media Utama yang akan digunakan pada Sukan Olimpik pada 2021.

Mori mendedahkan yang mereka dengan segera melancarkan Jawatankuasa Bertindak baru selepas pengumuman IOC menangguhkan Sukan Olimpik 2020, akibat pandemik Covid-19.

“Kakitangan kami bekerja tanpa henti untuk persiapan ini dan saya dengan sukacitanya mengumumkan yang kami mengesahkan semua venue dan menetapkan jadual pertandingan untuk temasya tahun hadapan,” katanya seperti disiarkan dalam laman sesawang IOC; www.olympic.org.

“Kami akan terus berikan yang terbaik bagi memastikan Olimpik Tokyo bernilai sebagai satu simbol penyatuan dan perpaduan, dalam menangani krisis Covid-19. Minggu hadapan pada 23 hari bulan, setahun sebelum Sukan Olimpik, kami bercadang untuk mengeluarkan pesanan mengenai perpaduan, harapan dan semangat kepada atlet bersama tumpuan mereka untuk Sukan Olimpik tahun hadapan,” kata Mori lagi.

Sementara itu, Presiden IOC Thomas Bach mengucapkan terima kasihnya kepada Tokyo 2020 atas persediaan awal, dengan mengesahkan tempat dan juga jadual pertandingan.

“Perkampungan Olimpik adalah nadi utama Sukan Olimpik, manakala venue adalah rohnya. Saya gembira kepada perkampungan dan juga venue disahkan untuk tahun hadapan.

“Ini bermakna yang atlet akan alami sebagai pengalaman sekali dalam hidup. Atlet dari seluruh dunia akan tinggal di bawah satu bumbung di Perkampungan Olimpik, berkongsi makanan bersama, menyambutnya bersama, berbincang bersama dan membentuk satu komuniti Olimpik yang unik,” kata Bach.

Beliau juga yakin kedua-dua IOC dan juga Tokyo 2020 akan dapat menjadikan Sukan Olimpik yang ditangguhkan itu, kepada satu sambutan penyatuan dan perpaduan manusia terbesar, menjadikannya satu simbol ketahanan dan harapan.

Tokyo 2020 merancang beberapa acara pada 23 Julai, bagi menandakan 1 tahun lagi sebelum permulaan Sukan Olimpik 2020, termasuk pelancaran kempen Jenama Olimpik “#StrongerTogether”, yang menerima kepentingan penyatuan dan perpaduan pada waktu sukar ini, mengiktiraf kekuatan sukan dan khasnya Sukan Olimpik dalam membawa masyarakat bersatu-padu.

Sukan Olimpik 2020 ditangguhkan ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan Paralimpik Tokyo, 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Pada asalnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan berlangsung dari 24 Julai ke 9 Ogos dan Sukan Parlimpik dari 25 Ogos hingga 6 September tahun ini itu, namun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast