Rakaman video anggota polis melutut pada leher lelaki kulit hitam tular di London.

LONDON – Seorang anggota polis digantung perkhidmatannya selepas satu video tular dia sedang berlutut pada kepala dan leher seorang lelaki kulit hitam yang ditahannya.

Tindakan polis itu menyebabkan lelaki tersebut menjerit “lepaskan leher aku!”

Video yang dirakamkan itu menunjukkan seorang polis kelihatan berlutut di bahagian kepala dan leher lelaki terbabit, sementara seorang polis lahi membantu menahan lelaki itu.

Polis kulit putih itu berhenti melutut ke atas suspek setelah lelaki berkenaan memprotes tindakan ke atasnya.

Seorang saksi memberitahu lelaki yang mereka tangkap itu tidak menyerang sesiapa pun.

Kejadian itu berlaku lagi selepas Britain dan bandar-bandar besar lain menyaksikan protes Black Lives Matter susulan tindakan sama ke atas George-Floyd, lelaki warga Afrika-Amerika hingga mengakibatkan kematiannya semasa dalam tahanan polis di Minneapolis pada 25 Mei lalu.

“Sebilangan teknik yang digunakan menimbulkan kerisauan saya – mereka tidak diajar dalam latihan polis.

“Saya telah menonton video tersebut dan penularannya di media sosial sangat mengganggu,” kata Deputi Komisioner Polis Metropolitan Steve House dalam satu kenyataan mengenai kejadian itu.

Polis Metropolitan London telah merujuk insiden tersebut untuk siasatan badan bebas polis bagi England dan Wales.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan meminta siasatan segera dan menyeluruh dalam insiden yang disifatkannya sebagai kejadian “menyedihkan”.

Lelaki kulit hitam berusia 45 tahun ditangkap dan telah didakwa kerana memiliki pisau di tempat awam.

Lelaki itu juga akan dipenjarakan kerana kesalahan yang berasingan, tambah polis. – MalaysiaGazette