LONDON – Kejayaan Arsenal melangkah ke perlawanan akhir Piala FA Emirates diyakini  membantu Pierre Emerick Aubameyang untuk terus bersama di Emirates.

Aubameyang menjaringkan dua gol untuk menyingkir juara bertahan Manchester City dalam aksi separuh akhir di Stadium Wembley semalam.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu masih belum memperbaharui kontrak bersama Arsenal yang masih berbaki setahun.

Berdasarkan reaksi pemain itu kepadanya selepas kejayaan malam tadi, Arteta percaya Aubameyang berpuas hati dan akan terus tinggal di kelab itu.

“Cara dia pandang dan reaksinya sangat meyakinkan dan memberi isyarat dia tidak akan meninggalkan kelab ini,” kata Arteta.

Bagi Arteta menjulang Piala FA penting untuk mengesahkan tiket kempen Liga Europa musim depan.

Sejak beberapa hari lalu, Arteta merungut kekangan dana untuk merombak pasukannya namun kelayakan ke Liga Europa akan memberi ruang untuk mengetengahkan perubahan yang wajib dilaksanakan dalam pasukan sedia ada.- MalaysiaGazette