Hujan lebat semalam menyebabkan beberapa lokasi di Sepang dilanda banjir kilat. - Gambar ihsan SSCC

SHAH ALAM – Sekurang-kurangnya 22 lokasi melibatkan empat daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat petang semalam dan awal pagi tadi.

Empat daerah yang dilanda bencana itu ialah Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Sepang.

Berikutan itu, seramai 80 penduduk di Hulu Langat telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai.

Menurut laporan dari Smart Selangor Command Centre (SSCC), 13 lokasi yang dilanda banjir kilat di daerah Hulu Langat Kg. Sungai Pening di Semenyih, Kg. Bukit Dukong, Kg. Sungai Sekamat, Kg. Batu 13, Sungai Balak, Kg. Sri Jambu, Kg. Sungai Jernih, Batu 10 Cheras, Sungai Raya Batu 9, Kg. Bangi, Taman Muhibbah, Kg. Sungai Kantan dan Kg. Batu 14.

Sehingga jam 9.30 pagi ini, keadaan air di semua loksi masih belum surut, manakala berlaku ban pecah di Kg, Sungai Jernih.

Keadaan banjir kilat di Gombak.

Laporan itu turut menyatakan empat lokasi di daerah Hulu Selangor yang keadaan air mulai surut ialah Kg. Sentosa Batang Kali, Taman Seri Cahaya Batang Kali, Taman Seri Batang Kali dan Lorong 4B Taman Lembah Damai, Kerling.

Turut mulai surut ialah Lorong E5 Kg. Melayu Sri Kundang di Gombak, diikuti dua lokasi di Sepang iaitu Taman Desa, Jenderam Hilir dan Jalan Salam, Sungai Merab.

Bagaimanapun, dua lokasi di Sepang yang air dilaporkan semakin naik ialah di Taman Baiduri, Dengkil dan Kg. Cemperai, Dengkil.

Pasukan SSCC kini berada dalam keadaan berjaga-jaga, turut membuka pusat pemindahan sementara iaitu Dewan Sungai Sekamat, Balairaya Batu 10 Cheras dan Balai Raya Kg. Batu 13. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast