KUALA LUMPUR – Kajian yang dilakukan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) di 90 sekolah rendah di seluruh negara mendapati mata pelajaran Sains hanya menyumbang penguasaan bahasa Inggeris sekitar 0.7 peratus sahaja.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, manakala kajian sama bagi mata pelajaran Matematik langsung tidak ada sumbangan untuk tujuan itu.
Selain itu, kata beliau, hasil ujian antarabangsa iaitu Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) 2007 dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan kedudukan Malaysia menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMSS 1999 dan 2003, negara ini dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.
Oleh itu ABIM menggesa kerajaan memansuhkan Program Dwibahasa iaitu Dual Language Program (DLP) dan kembali semula kepada landasan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan kebangsaan yang semakin terpesong melalui DLP.
“Beri kuasa autonomi kepada sekolah, ibu bapa dan guru dalam memilih sama ada DLP/PPSMI atau Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah tidak masuk akal dan sama sekali bertentangan dengan misi mendaulatkan bahasa Melayu.
“ABIM menegaskan, pemerkasaan bahasa kebangsaan perlu dinilai sebagai acuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum, bukan sebagai bahan menyemarakkan ketegangan dan salah faham sesame masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, kata Muhammad Faisal, pihaknya menyambut positif usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di negara ini.
Kata beliau, ia merupakan medium penting memperkukuhkan peranan institusi seterusnya mampu memartabatkan bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan rakyat.
“Sesungguhnya, ABIM menegaskan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152m Akta 32, Akta DBP dan Akta Pendidikan seharusnya menjadi lunas undang-undang negara dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke landasan sewajarnya.
“Kita menyokong sebarang usaha memastikan penggunaan bahasa yang betul. Hakikatnya, bahasa Melayu belum diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara.
“Ini kerana, kita dapati masih terdapat program kerajaan yang meminggirkan bahasa Kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette