Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA – UMNO akan bermesyuarat serta berbincang peringkat tertinggi parti untuk memilih calon terbaik untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjelang mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 23 Julai ini.

Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO sudah tentu mempunyai strategi tersendiri yang akan dibincang dan disusun bersama-sama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan mengambil pandangan rakan dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun DUN Slim adalah kerusi tradisional UMNO.

“Kalau saya beritahu strategi UMNO, itu bukan strategi lah. Kita akan pilih calon terbaik untuk mewakili DUN Slim, itu kita janji. Banyak tokoh-tokoh di Tanjung Malim itu yang boleh ditonjolkan untuk mewakili penduduk Slim.

“Kita akan dengar apa yang akan disebut Ketua Perhubungan UMNO Negeri Perak nanti dan saya percaya mereka akan bermesyuarat dan akan mengetengahkan nama-nama kepada Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk dipertimbangkan dan kita akan tengok nanti,” katanya ketika ditanya pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian seleapas hadir merasmikan Program Merdeka Community Bonding Semarakkan Patriotik Dalam Norma Baharu anjuran penjawat awam di Perumahan Penjawat Awam (PPA) Fasa 14/7, Presint 14 pagi tadi.

Ditanya lagi sama ada UMNO Negeri Perak diberi tempoh masa untuk menyerahkan senarai calon berkelayakan, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, tiada sebarang tempoh masa disyaratkan kepada UMNO Perak.

“Sekarang ini UMNO Perak sudah mula melihat calon-calon yang sesuai dan melihat siapa yang calon terbaik untuk mewakili rakyat Slim,” tegas beliau secara ringkas tanpa mengulas lanjut.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan semalam mengesahkan suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan PRK, termasuk daftar pemilih yang akan digunakan bagi DUN tersebut.- MalaysiaGazette

Terima notis kekosongan DUN Slim, SPR bermesyuarat 23 Julai tetapkan tarikh PRK

1 Komen

  1. Umno jangan salahkan pilih Sudah lah. Sebab kawasan itu banyak talam dua muka. Berapa ramai orang umno sudah jadi katak.

Comments are closed.