KUALA LUMPUR – Kepada siapa doa seorang ayah dititipkan, kalau tidak kepada arwah isteri dan anak-anak yang masih meneruskan kehidupan agar mereka dirahmati dunia dan akhirat.
Demikian dapat digambarkan oleh dua beranak ini, Ibrahim Lew dan anaknya, Ebit Irawan atau lebih dikenali dengan panggilan ustaz Ebit Lew ketika hari pertama pembukaan cawangan kedua Elewsmart di TTDI Grove, Kajang, semalam.
Walaupun sibuk melayan pelanggan, Ebit Lew sempat meluangkan masa menemani ayahnya yang sudah bertongkat, duduk di sebalik barang jualan di dalam pasar raya itu.
Ternyata, gambaran kedua mereka mengamit rasa sayu, lebih lagi apabila Ibrahim Lew membisikkan ke telinga Ebit, jika emaknya (Allahyarhamah Samsinar Hakim) masih ada, mesti dia gembira melihat kejayaan anaknya itu.
Gambar yang dipaparkan Ebit Lew menerusi laman sosial Twitternya dengan kapsyen, “Berbual dengan ayah saya. Bisiknya, jika mak ada, mesti dia gembira sangatkan anakku”, mengundang rasa pilu orang ramai dan netizen.
Ebit menyatakan, dia dapat merasakan ayahnya menangis rindukan isterinya yang pergi lebih awal dari mereka.
“Dia menangis rindukan mak saya. Itulah kekuatan Ebit, doa bapa dan mak (sejak) dulu lagi.
“Sebenarnya, semua yang kita peroleh hari ini, mak lebih dapat (pahala) kerana Ebit niat (doa) setiap kebaikan, Ebit hadiahkan kepada mak,” tulis beliau.
Beliau turut menitipkan doa kepada Allah agar menjaga ibunya di sana (alam barzakh) dan kurniakan ayahnya kesihatan serta bahagia sepanjang hayat.
“Gunakanlah kamu semua jadi matahari kebaikan,” tulisnya.
Selain berdakwah dan mempunyai rangkaian perniagaan seperti restoran, butik pakaian dan khidmat latihan, Ebit Lew turut membuka beberapa cawangan pasar raya di sekitar Selangor dengan nama Elewsmart. – MalaysiaGazette
Mempunyai ciri2 wali Allah…wallahu alam..