KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perincian mengenai cadangan tersebut akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
Beliau yang jelas bimbang dengan perkembangan kes positif Covid-19 yang kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lalu memberitahu, sekiranya perlu kerajaan juga akan menempatkan rakyat Malaysia yang baru pulang ke tanah air di pusat-pusat kuarantin seperti dahulu.
Ini bagi mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan.
Tambahan pula, kebanyakan kes positif Covid-19 kebelakangan ini adalah melibatkan individu yang baru tiba ke negara.
Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan kadar denda yang lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang ingkar dan melanggar peraturan.
“Walaupun kes COVID-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP. Contohnya Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai 2020 dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai 2020.
“Selain itu, sejak 7 Julai 2020, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca dari mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak 3 kes, Kluster di Melaka 5 kes, Kluster di Terengganu 3 kes dan Kluster di Kuala Lumpur 2 kes.
“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara-saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak.
“Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya semasa menyampaikan perutusan khas hari ini.
Tambah Muhyiddin, amalan kebiasaan baharu perlu diteruskan.
Katanya, walaupun kes-kes Covid-19 semakin berkurangan, rakyat perlu terus berhati-hati dengan terus memakai pelitup muka di tempat awam, menjaga jarak sosial dan menjaga kebersihan diri.- MalaysiaGazette