Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti beberapa pendekatan dengan beberapa bank tempatan untuk membantu golongan sasar, selepas tempoh moratorium pinjaman bank berakhir September ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, lanjutan moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman oleh bank tempatan masih lagi dalam perbincangan.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan dan bank tempatan kini meneliti langkah seterusnya untuk merangka inisiatif atau bantuan fiskal secara lebih bersasar.

“Satu contoh yang boleh saya berikan ialah dengan memanjangkan tempoh bayaran, ia sekaligus mengurangkan jumlah ansuran bulanan, satu lagi contoh, ubah terma dan syarat dan kurangkan kadar faedah.

“Kita juga teliti pemberian pelepasan lain sehingga peminjam stabil, cuma sekarang kita galakkan semua peminjam untuk berjumpa dengan bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), selain mendapatkan nasihat mengenai skim penyelesaian pinjaman kecil,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai angka kurang tepat berhubung pemberian bantuan kepada rakyat sebagai yang dikemukakan dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam tengku Zafrul berkata, beliau menjangkakan Pejabat Perdana Menteri akan membuat pembetulan mengenai perkara itu.

“Mungkin saya boleh bagi nombor yang betul dalam dewan ini. Inisiatif tunai bagi pemandu teksi, pemandu pelancong dan bas ini semua RM110 juta.

“Bagi tunai secara sekali pemberian, iaitu RM500 kepada pemandu sepenuh masa e-hailing dan bagi teksi RM600, pemandu pelancong dan bas, seperti yang yang berhormat cakap tadi, RM22.7 juta membabitkan 37,100 penerima.

“(Peruntukan untuk) e-hailing pula RM34 juta untuk 68,300 penerima dan ada lagi yang tunggu bayaran, iaitu seramai 4,800 pemandu teksi kerana mereka baru nak memperbaharui kad pemandu.

“Pemandu bas pelancong, iaitu seramai 31,000 orang pula membabitkan peruntukan RM1.98 juta dan kita jangkakan bayaran untuk 30,000 pemandu bas sekolah akan dibayar pada 14 Ogos ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette