Seramai 4,000 guru takmir yang merupakan antara penggerak komuniti peringkat kariah akan menenerima kadar elaun daripada RM800 kepada RM900 sebulan.- Gambar hiasan.

WALAUPUN usaha yang ingin diambil oleh pihak kerajaan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam negara kita dapat membantu usaha yang telah dan sedang diambil oleh negara kita bagi mengawal penularan virus Novel Koronavirus (Covid-19), namun ia dilihat tidak memadai sekiranya tiada langkah lain diambil bagi mengawal penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita. Antara langkah lain yang perlu diambil selain daripada mewajibkan pemakaian pelitup muka adalah dengan melakukan proses penjarakan sosial. YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui perutusan khas yang dibuatnya baru-baru ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sebagai usaha mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Langkah bagi menimbang mewajibkan pemakaian pelitup muka ini terpaksa dilakukan kerana terdapat peningkatan kes jangkitan serta peningkatan bilangan kluster jangkitan Covid-19 dalam negara kita pada ketika ini. Perkembangan terbaru ini sudah pasti membawa kebimbangan kepada ramai pihak serta pihak kerajaan. Perlu diketahui juga jumlah jangkitan Covid-19 masih meningkat dengan banyaknya di serata dunia pada masa ini. Pada ketika ini juga, tiada vaksin atau penawar yang boleh digunakan bagi mengubati wabak Covid-19. Perang bagi melawan virus Covid-19 masih perlu diteruskan oleh semua pihak.

Selain daripada memakai pelitup muka, proses penjarakan sosial ini adalah penting untuk dilakukan oleh semua pihak supaya diri mereka tidak dijangkiti dengan virus Covid-19 serta menjangkitkan orang lain dengan virus terbabit. Ramai pakar perubatan di serata dunia yang menyarankan supaya orang ramai melakukan proses penjarakan sosial ini bagi memutuskan jangkitan penularan virus Covid-19. Oleh itu, selain daripada memberi pertimbangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka, pihak kerajaan juga perlu memberi pertimbangan bagi mewujudkan sebuah akta khusus bagi memastikan pematuhan sepenuhnya saranan penjarakan sosial di kalangan orang ramai dalam negara kita bagi membendung penularan virus Covid-19.

Pihak kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan orang ramai untuk melakukan penjarakan sosial dengan sendiri tanpa adanya sokongan daripada sebarang bentuk undang-undang yang jelas. Ini kerana kemungkinan terdapat sesetengah pihak yang ingkar serta keliru terhadap saranan terhadap penjarakan sosial yang telah dibuat. Kewujudan peruntukan undang-undang khusus terhadap perkara ini boleh dikuatkuasakan buat sementara waktu sehingga vaksin atau penawar bagi mengubati Covid-19 ditemui kelak.

Memandangkan pihak kerajaan sudah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) dengan membenarkan hampir semua sektor perniagaan, pekerjaan dan pendidikan untuk mula beroperasi, pihak kerajaan perlu juga mengambil langkah drastik memastikan orang ramai mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi diri mereka daripada terkena dengan jangkitan virus Covid-19 dan menyebarkannya virus Covid-19 berkenaan kepada orang sekeliling. Saranan yang diberikan oleh pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk orang ramai dalam negara kita melakukan penjarakan sosial adalah dialu-alukan, namun ia dibimbangi tidak membawa kesan selagi ianya tidak disertai atau disandar dengan kuasa undang-undang. Walaupun terdapat beberapa peruntukkan undang-undang yang boleh digunapakai seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Kanun Keseksaan [Akta 574], dan lain- lain lagi, namun ia dilihat tidak mencukupi untuk memastikan orang ramai dalam negara kita mematuhi saranan penjarakan sosial ini kerana ia tidak menyatakan dengan jelas perkara berkaitan dengan proses penjarakan sosial ini.

Oleh yang demikian, adalah ingin dicadangkan supaya pihak kerajaan memberi pertimbangan dengan serius untuk memperkenalkan sebuah kerangka undang-undang khusus bagi memastikan proses penjarakan sosial dalam negara kita dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan serius serta tindakan hukuman dapat diberikan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi saranan penjarakan sosial berkenaan. Melalui peruntukan khusus undang-undang penjarakan sosial ini, pihak kerajaan dapat merangka dengan lebih terperinci maksud penjarakan sosial itu sendiri serta jumlah jarak penjarakan sosial yang benar-benar diperlukan di semua kawasan dalam sektor tempat kerja dan perniagaan dalam negara kita termasuklah restoran, pusat membeli belah, stesen minyak, bank, pejabat pos, sekolah, universiti, dan lain- lain lagi. Melalui
peruntukkan akta khusus berkenaan juga, jumlah penjarakan sosial dapat ditentukan dengan lebih jelas di dalam semua pengangkutan awam yang ada dalam negara kita seperti bus, teksi, LRT, MRT, KTM Komuter, ERL termasuklah tempat duduk penumpang di dalam pesawat kapal terbang. Apa yang lebih penting lagi, melalui peruntukan undang-undang khusus penjarakan sosial berkenaan, hukuman tertentu dan yang sesuai boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi saranan penjarakan sosial ini. Dengan ada undang-undang khusus penjarakan sosial ini ia akan membuka mata orang ramai terhadap saranan penjarakan sosial yang telah dibuat oleh pihak kerajaan dan yang lebih penting orang ramai akan mengambil serius terhadap saranan penjarakan sosial ini.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan,  Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)