LONDON – Selepas 16 tahun, Leeds United kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020/2021 selepas menjuarai Liga Kejuaraan apabila pasukan tempat kedua West Brom tewas 2-1 kepada Huddersfield kelmarin.

Kejayaan Leeds itu turut menarik perhatian peminat bola sepak Indonesia apabila salah seorang daripada pemain pertahanan skuad itu dikatakan mempunyai darah keturunan negara tersebut.

Bek tengah yang berusia 20 tahun, Pascal Struijk menjadi calon terbaharu untuk dipanggil memperkuatkan skuad Garuda berdasarkan darah keturunan Indonesia di sebelah ayahnya.

Bagaimanapun, dalam satu temubual bersama media Belgium, Sport Magazine, Struijk mengakui masih tidak berminat untuk menyarung jersi Indonesia sebaliknya menyasarkan untuk menyertai Belanda.

“Melalui datuk dan nenek saya yang meninggalkan Hindia Belanda (nama Indonesia dulu) ke Belanda Daya mempunyai hubungan dengan Indonesia tetapi kini lebih dengan Belanda dan Belgium.

“Di Indonesia, mereka tahu saya memiliki darah Indonesia. Tidak tahu macam mana mereka boleh mengetahuinya,” katanya dalam Sport Magazine.

Struijk juga sebelum ini pernah menyertai skuad Belanda bawah 17 tahun (B-17) ketika masih beraksi bersama skuad simpanan Ajax Amsterdam.

“Saya sangat gembira bila menerima panggilan dari Roberto Martinez (jurulatih Belgium), tetapi saya lebih suka Belanda. Hingga bawah 17 tahun, saya sering dipanggil dan ianya berhenti ketika saya berada di bangku simpanan Ajax.

“Jika mereka tidak menyukai saya di Belanda dan jurulatih Belgium bersedia memberi saya peluang, saya pasti memilih negara itu,” tambahnya.

Walaupun, Struijk memilih Belgium dan Belanda namun peluang Indonesia untuk mendapatkan khidmat pemain itu masih belum tertutup selagi beliau tidak mendapat panggilan rasmi daripada kedua-dua negara itu. – MalaysiaGazette