KUALA LUMPUR – Semua ahli-ahli Parlimen diingatkan agar berbahas dengan penuh tertib dengan menjaga tatasusila yang sopan.

Peringatan itu diberikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika memulakan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pesanan itu katanya adalah bagi memastikan kepentingan rakyat dapat dibela, pada masa sama menjaga kesucian dewan.

“Semalam saya berjumpa dengan Ketua Whip parti mengenai penggunaan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadap dan seksis dalam dewan ini.

“Semua Whip yang hadir sebulan suara memperbaharui komitmen mereka untuk mempertahankan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam memastikan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadap dan seksis tidak digunakan di dalam dewan,” katanya.

Beliau turut berharap agar semua ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradab sopan.

Ujarnya, beliau dan dua timbalan Yang Dipertua akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jika ahli dewan melanggar peringatan itu.

“Jika masih disebut, saya ingatkan YB dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di dalam dewan membawa satu tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat kepada kita.

“Harapan rakyat adalah masalah dan keluh kesah mereka dibincangkan di dalam dewan ini dan penyelesaian dapat dicari,” tegasnya. – MalaysiaGazette