Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri ketujuh menjadi punca berlakunya pertengkaran atau kemelut politik.

Ahli Parlimen (Langkawi-Bebas) itu berkata, ada antara ahli parti yang menyalahkannya kerana menganggap semua pertengkaran yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) disebabkan beliau meletakkan jawatan.

“Sebenarnya PH dijatuhkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila keluar PH (menyebabkan) seluruh anggota PH kehilangan jawatan mereka.

“Saya sebagai anggota kerajaan PH juga kehilangan jawatan,” katanya ketika membahaskan Titah diraja pada di Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sudah membuat keputusan keluar dari kerajaan PH apabila mereka merayakan (pembentukan kerjasama) bersama UMNO dan Pas di Hotel Sheraton.

Ujarnya, pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Interim adalah daripada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan negara tidak hilang kepimpinan sebelum kerajaan baharu ditubuhkan.

Sementara itu, beliau menyifatkan kes lompat parti banyak berlaku di Sabah.

“Saya berpendapat bahawa lompat melompat banyak berlaku di Sabah, entah pasal apa saya tak tahu.

“Tapi ini memang berlaku dahulu. Di peringkat pusat tak pernah berlaku seperti ini. Kita hormati keputusan yang dibuat oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Dr Mahathir mendakwa, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghalang hasrat majoriti rakyat untuk melakukan perubahan dasar negara.

“Sebenarnya parti-parti yang ditolak rakyat telah rampas kerajaan pilihan rakyat dengan cara tidak mengikut peruntukan perlembagaan negara.

“Apa yang berlaku bukan sahaja tidak demokratik tapi menghalang hasrat majoriti rakyat untuk melakukan perubahan dasar negara.

“Parti yang majoriti rakyat tolak dan dasar ditolak oleh mereka sekarang menubuhkan kerajaan yang mengekalkan dasar yang ditolak oleh rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, penubuhan PN dikenali sebagai kerajaan pintu belakang kerana ia bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.

“Parti yang ditolak rakyat merampas pilihan rakyat dengan cara tidak mengikut peruntukan perlembagaan negara.

“Kerajaan yang ada sekarang ini diakui oleh Perdana Menteri sendiri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette