UMNO Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad berkata, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir bercakap benar apabila mendakwa gaji yang diterima oleh pengerusi syarikat-syarikat milik kerajaan adalah sebanyak RM50,000 sebulan.

Cuma yang beliau tidak tahu adalah bayaran tersebut sebenarnya berlaku semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sahaja.

Veteran UMNO itu berkata, beliau percaya Akmal bercakap apa yang dia tahu dan apa yang dia tahu itu berlaku semasa PH menjadi kerajaan.

”Jadi, bila YB Akmal berkata seorang pengerusi agensi kerajaan dan GLC dibayar RM50,000 sebulan, ianya sebenarnya berlaku masa pemerintahan PH.

”YB Akmal bercakap benar. Hanya, YB Akmal tidak tahu bahawa PH sebenarnya lebih berbelanja besar atau lumayan berbanding BN (Barisan Nasional),” kata Shahrir yang mengulas penjelasan Pengerusi Prasarana, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bahawa gajinya hanya RM8,000 dan bukan RM50,000.

Shahrir tidak menyalahkan Akmal apabila beliau menyatakan setiap pengerusi GLC dibayar gaji RM50,000 sebulan sehingga mengakibatkan perbelanjaan dana awam berjuta-juta ringgit.

Ini kerana, sebagai pemimpin muda PKR tempoh 22 bulan pentadbiran PH sudah cukup untuk beliau memahami semua aspek kerajaan.

Lagipun, sudah tentu pemimpin muda seperti Akmal juga banyak bertanya kerana orang muda suka hendak belajar, kata Shahrir lagi.

Beliau yakin penjelasan Tajuddin pastinya memeranjatkan Akmal kerana pemimpin UMNO selalu dicemuh sebagai tamak dan gilakan jawatan.

Tetapi hakikatnya mereka mengambil elaun yang lebih rendah daripada mereka yang pegang jawatan sama yang dipegang semasa pentadbiran PH.

Shahrir berkata, selaku Pengerusi Felda sebelum ini, beliau dibayar RM23,000 sebulan di atas keputusan lembaga pengarah tetapi beliau juga hanya mengambil RM8,000 dan baki RM15,000 itu dibayar kepada Yayasan Felda.

Berbanding dengan seorang tokoh korporat yang dilantik olih PH sebagai Pengerusi Felda telah dibayar RM25,000 sebulan untuk bekerja dua hari di Felda dan dua hari lagi di sebuah lagi agensi kerajaan.

Maknanya, angka RM50,000 itu memang jumlah elaun bulanan seorang pengerusi agensi kerajaan atau GLC semasa PH, tambahnya.

Manakala seorang lagi dibayar RM50,000 sebulan.

Oleh itu, tidak hairan kerana pegawai-pegawai tertinggi Felda lantikan PH juga dibayar antara RM50,000 dan RM60,000 kerana mereka dari dunia korporat dan lantikan dibuat semasa kerajaan dahulu.

”Dan berbeza dari mereka dan orang PH, orang UMNO tetap meletakkan konsep ‘public service’ atau perkhidmatan awam sebagai prinsip utama dalam kerjaya politik mereka. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. kira pun tak reti… lepas tu tuduh macam2… berani cakap kat luar , masuk fb.. twitr .

  2. Terima kasih atas pemberitahuan datuk shahrir. Kita tahu puak ph dan penyokong cuba mengaut sebanyak yang mungkin kerana mereka tàu mereka mungkin tak boleh menipu rakyat lebih lama. Kita lihat strategi mereka sekarang pun serupa. Bukan nak menolong rakyat tapi menuding jari terus ke orang lain.

Comments are closed.