Gambar hiasan

ORANG ramai tidak seharusnya memiliki sebarang sikap ego
atau berasa malu untuk mengelak daripada memakai pelitup
muka.

Setiap orang harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri mereka dan orang sekeliling
daripada dijangkiti dengan sebarang jenis penyakit
berjangkit dan ini termasuklah jangkitan daripada virus Novel
Koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda dihampir
semua negara dalam dunia pada ketika ini termasuklah
Malaysia.

Kesihatan dan keselamatan terhadap diri sendiri
dan orang sekeliling harus diberi keutamaan berbanding
dengan sebarang sifat ego atau perasaan malu yang ada
dalam diri sendiri terhadap saranan pihak kerajaan untuk
kita memakai pelitup muka.

Pada Isnin  lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui pengumuman yang dibuat secara langsung diseluruh negara ada mengumumkan bahawa pihak kerajaan ingin mencadangkan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam negara kita.

Langkah itu dilihat terpaksa diambil kerana terdapat peningkatan kes jangkitan virus Covid-19 dalam negara kita semenjak
beberapa hari yang lalu. Cadangan untuk mewajibkan
pemakaian pelitup muka ini juga dilihat terpaksa dibuat
kerana terdapat ramai yang yang tidak mengambil serius
diatas saranan yang dibuat oleh pihak kerajaan khusus oleh

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) supaya orang
ramai mengamalkan displin untuk menjaga kesihatan dan
keselamatan diri mereka sendiri yang diantaranya
termasuklah pemakaian pelitup muka.

Virus Covid-19 adalah sejenis virus baru yang mudah
menjangkiti antara manusia. Tiada vaksin dan penawar yang
boleh digunakan bagi mengubati virus terbabit pada masa
ini.

Mereka yang dijangkiti dengan virus Covid-19 terdedah
kepada kesan teruk terhadap tahap kesihatan mereka dan
dalam kes-kes tertentu boleh menyebabkan kematian.

Berjuta-juta orang yang telah dilaporkan telah dijangkiti
dengan virus terbabit dan beratus ribu orang yang telah
dilaporkan maut akibat daripada jangkitan dengan virus
berkenaan diserata dunia sehingga kini.

Memandangkan virus Covid-19 adalah sejenis virus yang amat bahaya dan mudah menjangkit adalah penting supaya orang ramai mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelakkan diri mereka serta orang sekeliling dijangkiti dengan virus
berkenaan.

Segala saranan yang telah dikeluarkan oleh
pihak kerajaan khususnya oleh pihak Kementerian
Kesihatan Malaysia (KMM) perlu dipatuhi pada setiap masa
dan tanpa kompromi dan ini termasuklah saranan
pemakaian pelitup muka.

Ramai pihak kini dilihat tidak mengambil saranan pamakaian
pelitup muka ini dengan serius. Terdapat beberapa faktor
kenapa saranan pemakaian pelitup muka ini tidak mendapat
sambutan.

Antara faktor utamanya kerana orang ramai
mengambil mudah terhadap jumlah atau bilangan kes
jangkitan virus Covid-19 yang dilaporkan menurun dalam
negara kita.

Jumlah atau bilangan kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan menurun setiap hari semenjak beberapa minggu yang lalu telah menyebabkan orang ramai beranggapan ancaman virus Covid-19 sudah berjaya dikawal dengan sepenuhnya, oleh itu tiada keperluan lagi buat mereka untuk memakai pelitup muka yang dilihat oleh mereka sebagai satu tabiat yang merimaskan serta
menyusahkan.

Terdapat juga segelintir individu yang memiliki ego yang tinggi serta yang beranggapan bahawa pemakaian pelitup muka ini adalah satu tabiat yang boleh memalukan diri mereka kerana pemakaian pelitup muka ini dianggap sebagai orang yang lemah, takut dan tidak ada keyakinan terhadap diri sendiri.

Sikap ego dan malu yang yang tidak bertempat ini menyebabkan mereka tidak mahu memakai pelitup muka.

Setiap orang harus ketahui, perang bagi melawan Covid-19
belum berakhir lagi. Sama ada mereka suka ataupun tidak,
pemakaian pelitup muka harus dijadikan sebagai satu
amalan atau norma baru pada kehidupan seharian semua
orang pada masa kini.

Pemakaian pelitup muka juga bukan tanda seseorang itu lemah, penakut atau tiada keyakinan terhadap diri sendiri. Pemakaian pelitup muka menunjukkan seseorang itu adalah seorang yang bijak dan berani untuk mengambil langkah bagi melindungi diri mereka sendiri dan orang lain daripada dijangkiti dengan virus berbahaya berkenaan.

Pemakaian pelitup muka merupakan satu langkah yang paling mudah untuk dilakukan oleh semua pihak termasuk oleh golongan kanak-kanak.

Oleh yang demikian, tiada sebab atau alasan bagi menafikan
pengunaan pelitup muka ini dalam kehidupan seharian
semua pihak.

Walaupun ada yang meragui keberkesanan pemakaian
pelitup muka ini dalam menghalang penyebaran sebarang
jenis virus, sekurang-kurangnya kita telah mengambil
langkah yang kita mampu laksanakan dalam mengekang
penyebaran virus.

Selebihnya, kita hanya mampu berserah kepada Tuhan. Setiap daripada kita tidak perlu ada sikap ego atau malu untuk membeli dan memakai pelitup muka kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melindungi diri kita sendiri serta orang sekeliling daripada terdedah dengan risiko jangkitan penyakit berjangkit.

Adalah penting juga untuk setiap orang mengunakan pelitup
muka dengan betul supaya ianya benar-benar berkesan
untuk melindungi diri mereka sendiri serta orang sekeliling
daripada jangkitan penyakit berjangkit.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa hendak memakai pelitup muka ialah dengan memastikan terlebih dahulu bahagian luar dan dalam topeng muka berkenaan. Elakkan daripada menyentuh bahagian dalam pelitup muka terbabit.

Bahagian luar pelitup muka biasanya berwarna dan bahagian yang lembut biasanya di atas untuk menutup bahagian hidung.

Pegang pelitup muka dengan kemas dan tekan perlahan di
bahagian hidung untuk memastikan ia berada dalam
kedudukan selesa.

Pastikan pelitup muka dipasang kemas dengan tangan dan bernafaslah seperti biasa. Adalah disarankan pelitup muka ditukar terutama apabila ianya telah lama digunakan ataupun setelah yakin ianya telah tercemar.

Akibat daripada penularan virus Covid-19 yang berlaku pada
ketika ini, sudah pasti orang ramai akan mula berasa panik
sekaligus akan berpusu-pusu membeli pelitup muka di pasaran.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil tindakan tegas melalui peruntukan undang – undang sedia ada dalam negara kita terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah terhadap pelitup muka yang dijual oleh mereka
seperti yang telah termaktub di bawah Akta Kawalan Harga
dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].- MalaysiaGazette

 

Dr. Muzaffar Syah Mallow

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang 
Universiti Sains Islam Malaysia.