Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang menetapkan penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP), sebagai mengejutkan dunia media.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ketetapan itu secara tidak langsung akan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan berekspresi melalui video rakaman peribadi.

“Apakah kerajaan pada hari ini telah melakukan kajian mendalam dan mendapatkan pandangan dari rakyat terutama remaja yang merupakan pengguna tegar media sosial sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut?

“Dalam era norma baru kini, rakaman audio visual menjadi antara komponen penting dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pengajaran dan pembelajaran, perkongsian maklumat dan lain-lain bentuk kerjasama digital.

“Adakah kerajaan akan turut mengambil tindakan ke atas guru-guru yang merakam video pembelajaran tanpa lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)?” soal beliau menerusi satu kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang menetapkan penerbit filem sama ada agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi, wajib memohon SPP.

Menteri itu dilaporkan berkata, kementeriannya melalui Finas mengeluarkan tiga jenis lessen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.

Katanya, merujuk kepada Akta Finas 1981, Seksyen 22 (1), tiada seseorang boleh mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem-filem atau mana-mana gabungan aktiviti-aktiviti yang dinyatakan dalam Seksyen 21 (1), melainkan jika suatu lesen dikeluarkan yang memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian,” katanya Saifuddin

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sebagai menteri, Saifuddin sepatutnya mengambil inisiatif untuk meminda Akta 244 yang telah berusia 37 tahun itu agar selari dengan tuntutan dan keperluan perkembangan teknologi terkini serta masyarakat semasa.

Kata beliau, berbeza dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu mengiktiraf dan berusaha mengangkat hak kebebasan bersuara dan hak berekpresi bagi meraikan kepelbagaian pendapat serta ideologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast