Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memotong kek dari penyokongnya sempena hari ulangtahun kelahiran beliau semasa hadir ke mahkamah untuk pendengaran membatalkan kes pindaan Laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Sejurus selepas prosiding pendengaran pengguguran meminda Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikejutkan dengan sambutan hari jadi.

Hari ini Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan menyambut hari jadinya yang ke-67.

Sebenarnya penyokong Najib dan juga segelintir orang awam turut serta bukan sahaja mengucapkan selamat hari jadi dan sempat membeli beberapa kek sebaliknya juga berkumpul awal pagi sejak 8 pagi di perkarangan mahkamah.

Najib juga tampil sporting memotong kek, bergurau senda, selfie dan makan kek bersama-sama penyokong dan orang awam serta media sebelum mengucapkan terima kasih dengan begitu ceria sebelum pulang kerana pendengaran hanya separuh hari.

 

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos ini untuk memutuskan permohonan Najib untuk mengugurkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang dihadapinya.

Peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah berkali-kali mendakwa pindaan oleh pendakwaraya di ketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram pada bulan lepas sebenarnya telah menjadikan kes itu tidak berasas dan agak ‘cacat’.

Jelasnya, pertuduhan pindaan yang dicadangkan pendakwaan juga membawa kepada implikasi yang serius terhadap kes pembelaan.

Manakala Sri Ram pula berpendapat permohonan itu seharusnya ditolak kerana kes ini masih lagi di peringkat awal bersama-sama bukti ketika ini.

Tegas Sri Ram, setakat ini hanya tujuh saksi sahaja memberikan kenyataan mereka berhubung kes pada masa ini.

Najib ketika ini sedang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan agar pindaan dilakukan ke atas laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dimuktamad dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu dalam usaha melindungi bekas perdana menteri tersebut daripada diambil tindakan.

Mereka didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda amaun rasuah atau RM10,000 berdasarkan mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast