Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan penutupan sementara operasi Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sarawak selepas seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.

Penutupan itu bermula 20 Julai lalu sehingga 2 Ogos ini, kata Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan penularan pandemik Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesemua kakitangan PPN Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan dan wajib menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Susulan daripada itu, Ikmalrudin berkata, operasi pejabat PPN Sarawak ditutup sehingga selesai tempoh kuarantin berkenaan memandangkan tiada kakitangan yang bertugas di pejabat sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

Pada masa yang sama, menurutnya, pembersihan dan nyah kuman (disinfeksi) ruang dan kawasan sekitar pejabat telah dilaksanakan untuk memastikan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut berkenaan urusan pilihan raya seperti pendaftaran dan semakan pengundi serta yang berkaitan masih boleh dilakukan melalui saluran-saluran ditentukan.

Antaranya, Portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, Portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPRDaftar, Aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018.- MalaysiaGazette