PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyediakan satu garis panduan pencegahan Covid-19 baharu yang ditambahbaik selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini baru-baru ini.
Garis panduan berkenaan kata Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom akan dikuatkuasakan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos nanti.
“SPR akan memastikan setiap proses dalam urusan pilihan raya tersebut selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran wabak Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika sidang media hari ini.
Terdahulu Azmi mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi penetapan tarikh penting PRK DUN Slim di Menara SPR di sini.
Jelas Azmi perkara utama yang diketengahkan SPR kali ini adalah pematuhan kepada penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair nyahkuman dan proses saringan suhu badan.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya lagi.
Jumlah kehadiran peserta bagi kempen pilihan raya tambah beliau tidak lagi dihadkan kepada 250 orang tetapi adalah tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan sosial.-MalaysiaGazette