KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan tiga kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Elsa, Kluster PUI (Pesakit Dalam Siasata) Ramnad dan Kluster PUI Al Khobar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, inddeks kes kluster Elsa merupakan seorang bukan warga negara iaitu krew kapal (Kes ke-8839) yang mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea.

“Beliau telah masuk ke Malaysia pada 16 Julai lalu untuk memulakan pekerjaan dan saringan awal terhadapnya di Filipina pada 14 Julai lalu dilaporkan negatif sebelum menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut.

“Lima hari kemudiannya iaitu pada 20 Julai lalu, beliau mula mengalami gejala dan dikesan positif pada Rabu lalu dan segera dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

“Susulan itu saringan kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini seramai 108 telah disaring yang mana tiga dikesan positif (dua bukan warganegara dan seorang warganegara) manakala 48 orang lagi negatif dan 57 orang masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai Kluster PUI Ramnad, Noor Hisham berkata, kes indeks kluster berkenaan merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari India pada 6 Julai lalu (kes ke-8817).

Tambahnya, saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke atasnya didapati negatif dan telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai 2020.

Namun, ujarnya, saringan hari ke-13 ke atas kluster PUI HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

“Setakat ini seramai 18 orang telah disaring dan mereka terdiri daripada enam ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat, tetapi dua daripada mereka positif iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks, 13 lagi negatif dan 3 orang lagi masih menunggu keputusan.

“Manakala kluster ketiga iaitu PUI AlKhobar pula merupakan warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai lalu (kes ke-8803),” ujar beliau.

Menurut Noor Hisham, saringan Covid-19 telah dilakukan ke atas kluster berkenaan di KLIA dan didapati negatif dan kemudian menjalani HSO bersama lima orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka.

Jelas beliau, kesemua mereka telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks dengan menaiki pesawat yang sama dan rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua ahli keluarga lain.

“Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai lalu dan dikesan positif Covid-19 pada 20 Julai lalu dan daripada tujuh ahli keluarga yang disaring seorang daripadanya dikesan positif dan enam lagi negatif,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bermakna. Yg negatif ketika di klia tidak boleh dianggap suci dari covid… Ditambah dengan sikap masing2 yang bingai tak nak kuarantin sendiri.. Menyusahkan umat!”

Comments are closed.