Allahyarham Nazrin Hassan

SHAH ALAM – Bekas pemandu peribadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau ada melihat tong minyak di dalam bekas plastik putih yang diletakkan di perkarangan rumah majikannya.

Saksi pendakwaan ke-28 kes itu, Muhammad Nabil Faqih, 28, berkata, beliau melihat tong itu selepas beberapa hari beliau memulakan tugas sebagai pemandu Nazrin.

“Saya mula bekerja dengan Encik Nazrin pada 23 April 2018 sehingga 13 Jun 2018, saya ada melihat tong minyak itu di dalam bekas yang diletakkan di belakang pasu di perkarangan rumah selepas tiga ke empat hari saya mula bekerja.

“Saya nampak tong (minyak) itu ketika mahu mengambil barang-barang untuk mencuci kereta yang diletakkan dalam bekas (yang  sama),” katanya ketika disoal Pengarah Pendakwaan Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid berhubung kes kematian Nazrin, di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di sini hari ini.

Terdahulu, Salim bertanyakan kepada Muhammad Nabil sama ada beliau ada melihat tong minyak petrol jenis aluminium  di rumah majikannya.

Muhammad Nabil turut menjelaskan sepanjang tempoh bekerja dengan Nazrin, beliau tidak pernah menggunakan tong itu kerana tiada keperluan berbuat demikian.

“Saya mencuci kereta menggunakan baldi kecil, kain dan syampu kereta yang di simpan di dalam bekas tersebut.

“Sebelum Iini, Encik Nazrin ada memaklumkan kepada saya kalau nak cuci kereta, barang-barang (cuci kereta) ada Edree (bekas pemandu Nazrin sebelum ini) simpan dalam bekas itu, dan saya hanya buka bekas untuk ambil barang cuci kereta… tong (minyak) saya tidak pernah guna sebab tiada keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nabil mengakui kali terakhir beliau menemui Nazrin adalah pada 13 Jun 2018, sebelum majikannya ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di kediaman mangsa.

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung 11 September depan. – Bernama