PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan untuk mengecilkan skop gelembung perjalanan (travel bubble) bukan hanya antara negara yang berstatus zon hijau Covid-19, tetapi kepada wilayah tertentu atau destinasi khusus yang bebas daripada wabak tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan tersebut diambil berikutan terdapat negara belum berstatus bebas wabak berkenaan berbanding kawasan lain yang masih mempunyai kes.
“Kita sedang melihat kepada perkara itu, seperti Australia, Jepun dan China. Bukan keseluruhan negara yang akan kita buka tetapi ikut zon, ikut wilayah, ikut destinasi yang berstatus hijau.
“Ia tidak semestinya perlu keseluruhan negara itu kita benarkan rakyatnya melancong ke negara ini (dan sebaliknya),” katanya selepas melancarkan Kempen “Meet in Malaysia” hari ini.
Menurut Nancy, cadangan itu akan dibincangkan dengan Kementerian Luar pada Isnin ini.
Tambah beliau, persetujuan tidak akan dicapai dalam masa terdekat memandangkan terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“Tidak semudah itu sebab kita akan menilai dulu yang menilai setelah kita berbincang untuk mengenal pasti mana negara yang kita rasa antara wilayah yang kita boleh buka. Begitu juga pergerakan mereka dan kita berhati-hati dalam perkara ini,” jelasnya.
Terdahulu ketika berucap, Nancy berkata, negara yang dalam pertimbangan untuk Malaysia melaksanakan gelembung perjalanan adalah Australia, Brunei, China termasuk Hong Kong and Taiwan), Jepun, New Zealand, Korea, Singapura, Thailand, Kemboja dan Vietnam. – MalaysiaGazette