Datuk Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Selama 46 tahun Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali Ku Li memendam hasrat untuk jawatan Perdana Menteri.

Hasratnya sejak tahun 1974 itu tidak kesampaian walaupun Tun Abdul Razak iaitu bapa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah memberinya peluang dan laluan mudah kepadanya yang ketika masih muda.

Bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, atas permintaaan Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum 1974, Ku Li bertanding kerusi parlimen.

Ku Li kemudiannya dilantik sebagai pengerusi Pernas, Petronas dan Bank Bumiputera Malaysia pada usia 35 tahun.

Kedudukan istimewa yang diberikan oleh Tun Razak memudahkan perjalanannya untuk dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 dan Menteri Kewangan pada tahun 1976.

“Malangnya, pada ketika itu walaupun beliau merupakan Naib Presiden UMNO kedua jadi beliau tidak dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Hussein Onn yang memilih Tun Dr Mahathir Mohamad yang lebih tua daripadanya.

“Ku Li tahu peranan Presiden UMNO penting untuk jawatan Perdana Menteri, jadi pada 24 April 1987, Ku Li bertanding untuk jawatan itu tetapi kalah kepada Mahathir.

“Susulan kekalahan itu, Ku Li pecahkan UMNO dan wujudkan Parti Semangat 46 menyebabkan UMNO diharamkan pada tahun 1988 dan hilang kuasa seketika daripada parti Barisan Nasional sehingga tahun 1996, Semangat 46 dibubarkan,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berhubung kenyataan Ku Li yang meminta Najib dan Ahmad Zahid berkorban dengan memberikan laluan kepada orang lain dalam kepemimpinan parti UMNO.

Ku Li turut dilaporkan berkata Najib dan Ahmad Zahid perlu melakukan tindakan tersebut kerana Umno dilihat ‘cacat’ pada pandangan rakyat buat masa ini berikutan kedua-duanya sedang berhadapan pertuduhan kes jenayah profil tinggi di mahkamah.

Nur Jazlan yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat berkata, pada tahun 2000, Ku Li menyertai semula UMNO dan menawarkan diri untuk jawatan presiden parti menentang Mahathir.

Bagaimanapun Ku Li kalah kerana tidak cukup kuota.

Tengku Razaleigh Hamzah. foto SYAFIQ AMBAK, 28 FEBRUARI 2020.

Katanya, Ku Li ketika itu merasakan beliau lebih layak jadi Perdana Menteri berbanding Mahathir dan cita-citanya itu dibawa ke tahun 2018.

Bagaimanapun Ku Li sekali lagi dikalahkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan Presiden UMNO.

“Jadi, saya percaya cita-cita Ku Li itu masih dipendam sehingga ke hari ini dan kenyataan beliau baru-baru ini supaya Najib dan Ahmad Zahid memberi laluan kepada orang lain itu dimaksudkan kepada dirinya,” katanya.

Beliau berpendapat tindakan Ku Li itu mungkin ada kaitan dengan pengaruh sesetengah pihak yang menyokongnya dalam UMNO.

Tambah Nur Jazlan, Najib dan Ahmad Zahid telah membuktikan tindakan mereka ‘mengorbankan diri’ iaitu Najib melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO walaupun belum dibuktikan bersalah begitu juga Ahmad Zahid yang tidak memegang apa-apa jawatan Kabinet walaupun Presiden UMNO.

“Berbeza Ku Li yang tidak pernah berkorban untuk bersara daripada wakil rakyat walaupun berkhidmat selama 46 tahun.

“Malah Ku Li pernah menunjukkan sikap hipokrit berpaling tadah setelah kalah dalam pemilihan Presiden UMNO dengan menubuhkan parti Semangat 46 dan ‘menghancurkan’ UMNO lama.

“Ke manakah pergi pemimpin UMNO sebaik sahaja lepas kalah PRU-14, ketika parti diserang bertubi-tubi. Ada wakil rakyat yang melompat parti dan juga berdagang, ada juga pemimpin yang membuat rundingan dengan Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan.

“Sekarang ini, apabila UMNO diletakkan semula dalam kerajaan atas usaha Presiden UMNO membentuk Muafakat Nasional, pemimpin yang berkenaan ini cuba memaksa Presiden UMNO berkorban dan mengundur diri.

“Ini kerana mereka tahu Presiden UMNO juga Pengerusi BN akan menentukan calon dan seterusnya memberikan tiket untuk mereka mengejar jawatan menteri dan sebagainya. Akhirnya kepentingan parti dan ahlinya menjadi korban kepada kepentingan peribadi mereka.

“Saya bersimpati dengan Ku Li apabila ‘terperangkap’ dengan rentak dalang ini untuk menjadi PM. Saya harap beliau tidak terpedaya dan digunakan oleh pemimpin tertentu memainkan impian beliau untuk menjadi Perdana Menteri seperti dalam pemilihan Presiden UMNO dua tahun lepas.

“Beliau dibuai dengan keyakinan pasti menang ketika itu tapi akhirnya kalah menjadi korban. Lebih baik kita fokus kepada perpaduan parti menjurus kepada PRU-15 dan kembali berkuasa kerana perpecahan PH.

“Lepas itu baru kita tentukan kedudukan Presiden UMNO dalam pemilihan parti tahun depan,” kata Nur Jazlan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ada udang di sebalik batu? belum menari dah tau tinggi rendahnya tanah? ada hati hitam di mana-mana?

Comments are closed.