KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap tindakan pihak tertentu yang mengganggu gugat ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri itu.

Serentak itu juga, katanya, satu laporan polis telah dibuat dan diharap siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti siapa yang menghantar dan menyuruh mereka mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan.

“Saya difahamkan ada ADUN yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah.

“Kalau mahu masuk dalam rumah sekali pun, kena ada waran yang sah untuk mengetahui tujuannya.

“Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, ia sudah berulang kali dan ini mengganggu gugat ketenteraman individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie yang merupakan Presiden Parti Warisan berkata, beliau difahamkan ada pihak tertentu berjumpa dengan ADUN kerajaan.

“Dikatakan ada orang jumpa Yang Berhomat (YB) kerajaan. Wakil siapa dia? Siapa dia yang jumpa YB itu, adakah mereka ini mahu membentuk kerajaan atau mahu menjadi Ketua Menteri, mahu jadi kerajaan pemerintah. Saya yakin ada pihak lain di belakang mereka ini,” katanya.

Kata beliau, kepada sesetengah pihak yang mungkin sudah lupa negara ini mempunyai undang-undang dan tindakan mengganggu gugat ketenteraman wakil rakyat sehingga datang ke rumah, perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Keadaan itu, ujar Mohd Shafie, boleh menjejaskan ketenteraman keadaan di peringkat negeri dan juga negara.

“Jika wakil rakyat itu reda untuk beralih sokongan, tiada masalah kerana kita juga tidak mahu memaksa. Macam Limus Jury dan James Ratib mahu masuk (parti pembangkang) masuklah, saya tidak paksa.

“Kita tidak mengugut orang, itu amalan kita dalam mematuhi perjalanan undang-undang yang ada.

“Saya harap pihak berwajib membuat siasatan lanjut mengenai perkara ini dan kita mahu lihat apa penemuan mereka, ke arah mana dan siapa sebenarnya menyuruh mereka untuk membuat desakan seumpama ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak menafikan ada cubaan membeli ADUN, namun jika orang itu tidak mahu dibeli, cukup-cukuplah, mereka bukan untuk dijual.

Katanya, membeli ADUN adalah amalan tidak sihat dan beliau yakin wakil rakyat kerajaan cukup matang untuk membuat keputusan.

“Tapi, saya dengar yang melompat ini mahu u-turn juga. Tidak tahu betul atau tidak, ini cakap-cakap sahaja.

“Apa juga keadaan yang berlaku, biarkan kami mentadbir negeri dan mententeramkan rakyat di peringkat bawah yang sudah pun binggung berdepan dengan Covid-19, ini pula binggung dengan pelbagai tekanan.

“Saya akan bersuara dalam parlimen nanti kerana untuk bercakap di luar susah sikit, ada kekangan dan halangannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kah kah kah..masa ko beli Adun UPKO dan tubuhkan kerajaan pintu belakang, ok jerrrr…

  2. JIKA KAMU YANG BUAT TAK SALAH,ORANG LAIN BUAT SALAH…MEMANG KAKI BEDAL APA YANG ADA KAMU NI BILA ADA KUASA..90% RAKYAT SENDIRI SABAH TOLAK KAMU,DAN ADUN2 KAMU TAHU PERKARA NI SEDANG CUBA SELAMATKAN DIRI CARI HAYAT POLITIK LAIN..
    SEMOGA KAMU BEDAL D TANGKAP DAN D DAKWA ATAS KES2 RASUAH N PROJEK KAMU BEDAL..KAMU KAYA RAYA ATAS KATA2 JANJI YANG BODOHKAN RAKYAT SABAH.

Comments are closed.