JAKARTA – Lebih daripada 300 kanak-kanak di Indonesia, termasuk bayi baharu lahir dan yang berusia kurang enam tahun meninggal dunia akibat Covid-19.
Ia merupakan fenomena yang menyaksikan Indonesia merekodkan kematian kanak-kanak tertinggi di dunia akibat novel koronavirus.
Persatuan Pediatrik Indonesia (Idai)melaporkan 51 kematian kanak-kanak sejak 17 Mac daripada sejumlah 2,712 kes yang disahkan dijangkiti Covid-19 pada Isnin lalu.
Ia menunjukkan 290 lagi dari 7,633 kanak-kanak yang disyaki menghidap penyakit itu mungkin meninggal akibat virus tersebut.
Ketua Idaim, Dr Aman Bhakti Pulungan berkata, Indonesia telah “mencatat jumlah kematian anak terbesar akibat virus ini di peringkat ASEAN, bahkan di Asia”.
Memandangkan angka kematian akibat pandemik ini belum reda, Indonesia mungkin mencatatkan kematian tertinggi akibat Covid-19 di dunia,” tambahnya.
Setakat ini, tiada kematian membabitkan bayi yang dijangkiti Covid-19 dilaporkan di Singapura, Malaysia dan Thailand.
Kementerian Kesihatan Indonesia mendakwa jumlah kematian anak-anak akibat virus itu disebabkan kekurangan zat makanan dan juga kemudahan kesihatan yang teruk.
Idai mendakwa 45 kanak-kanak yang meninggal akibat Covid-19 mengalami jangkitan sistem saraf, batuk kering, jangkitan usus, kekurangan zat makanan akut dan demam denggi berdarah.
Malah, Dr Aman menambah, kebanyakan kanak-kanak yang berusia enam tahun ke bawah lambat didiagnosis atau diberi rawatan menjadi punca kematian.
“Kebanyakan mereka menerima rawatan kurang dari 24 jam, 36 jam atau 48 jam sebelum meninggal dunia.
“Ada juga yang didiagnosis selepas meninggal dunia,” ujarnya.
Seorang bayi yang baru berusia 40 hari meninggal dunia akibat Covid-19 di Jawa Timur baru-baru ini selepas menerima kunjungan daripada jirannya yang positif virus tersebut. – MalaysiaGazette