Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bergambar kenangan dengan para penerima sumbangan pada Majlis Perasmian Perpustakaan Komuniti Pei You di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Salak Selatan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Semua bangunan yang dikunjungi orang awam akan disanitasi semula sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan ataupun setahun dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, bagi tujuan itu beliau telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk ‘mengunjungi’ semula bangunan  walaupun telah disanitasi sebelum ini.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan tempat-tempat awam sentiasa bersih daripada wabak berkenaan.

“Diperingkat PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) juga kita minta mereka mengawal SOP (Prosedur Operasi Standard). PBT juga memainkan peranan yang penting,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Pei You dan Kesedaran Cegah Kebakaran di sini hari ini.

Terdahulu, Zuraida merasmikan perpustakaan tersebut yang merupakan sumbangan daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Perpustakaan yang dibangunkan dengan menelan belanja sebanyak RM100,000 itu merupakan projek yang diselia oleh KPKT dibawah Projek Pembangunan Kampung Baharu.

Sebanyak tiga buah kampung baharu di Kuala Lumpur diselia dibawah kementerian berkenaan dengan bantuan berbeza-beza diberikan mengikut keperluan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Zuraida ketika ditanya mengenai langkah kementeriannya dalam menangani kes denggi ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19, beliau memberitahu, pihaknya akan melihat kembali langkah yang lebih ketat dalam mengatasi masalah itu.

Katanya, PBT diberi kuasa untuk menguatkuasakan perkara-perkara yang perlu dan langkah itu tidak boleh diabaikan.

“Selalu tiap-tiap tahun kita ada buat program perdana untuk denggi di seluruh negara, tapi tahun ini tidak berkesempatan kerana Covid-19.

“Insyaallah kita akan lihat balik dalam menangani denggi ini dengan cara yang lebih ketat. Saranan-saranan itu akan diberikan kepada PBT untuk menguatkuasakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette