Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Wang pampasan bernilai AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada kerajaan Malaysia perlu digunakan untuk menebus tiga bon 1MDB yang akan tamat tempoh pada 2022 dan 2023.

Penebusan bon-bon itu sangat mustahak supaya Malaysia tidak lagi terbeban dengan bayaran faedah setiap tahun, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil.

Ini kerana untuk tiga bon itu sahaja Malaysia membayar faedah sebanyak US$338.66 juta (RM1.44 bilion) setiap tahun, tidak termasuk bayaran faedah tahunan RM287.5 juta untuk sukuk 1MDB yang tamat tempoh pada 2039, kata Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

Kata Faiz, bayaran ini dari bank pelaburan itu menunjukkan pendedahan skandal kleptokrasi ini selama ini adalah berasas dan bukan tohmahan.

”Inilah hasil peninggalan kerajaan Najib Razak untuk rakyat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Memandangkan 1MDB adalah milik penuh kerajaan Malaysia, maka kegagalan 1MDB melunaskan hutangnya akan memberi impak terus kepada negara.

Justeru, kata Faiz, kedudukan kewangan syarikat ini harus terus dipantau dan ditadbir dengan telus.

Beliau juga enggesa agar kerajaan terus melaporkan status terkini dana 1MDB yang dipulangkan dan keadaan liabiliti syarikat tersebut seperti yang telah dilaporkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini dalam Tinjauan Fiskal 2020 kerana rakyat berhak mengetahui perkembangan isu ini secara terbuka dan telus.

Malah, siasatan dan pendakwaan berhubung skandal mega ini hendaklah diteruskan dan dilengkapkan terutama terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlibat dalam penyelewengan wang 1MDB ini termasuk penerimaan wang berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) hasil urus niaga 3 bon haram yang diatur Goldman Sachs ini. – MalaysiaGazette