Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan e-lelong yang dikuatkuasakan di seluruh negara sejak 1 Januari 2020.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bagi membolehkan 2,300 pelelong individu kembali mendapat semula pendapatan mereka yang terjejas akibat sistem e-lelong yang menguntungkan pihak tertentu sahaja.

“E-lelong ini perlu ditangguhkan dan dikaji semula oleh kerajaan dan berjumpa dengan mereka pemegang taruh atau yang terlibat dengan sistem e-lelong dan pelelong-pelelong.

“Mereka ini kehilangan kerja ketika pasca Covid-19, ketika semua orang memerlukan pekerjaan, ketika sektor ekonomi terkesan ini.

“Sistem ini tidak membantu rakyat untuk memberi pendapatan, apatah lagi sistem ini boleh menghilangkan pekerjaan kepada 2,300 pelelong seluruh negara,” katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs, di sini, hari ini.

Dalam perkembagan sama, sistem e-lelong itu hanya mewujudkan monopoli yang memberi manfaat kepada 10 syarikat panel bank, manakala 2,300 syarikat enterprise kehilangan pekerjaan, katanya.

“Setiap syarikat yang monopoli e-lelong ini mempunyai sehingga tiga pelelong dan ini menyebabkan 2,300 pelelong individu kehilangan pendapatan sehingga RM11 juta sebulan,” dakwanya.

Susulan penangguhan itu, Cuepacs mencadangkan kepada  kerajaan untuk memperkenalkan sistem hibrid yang memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pelelong dalam talian dan pelelong konvensional.

“Cuepacs mencadangkan agar sistem lelongan hibrid diperkenalkan, memandangkan sistem online ini hanya boleh dimanfaatkan di kawasan yang mempunyai talian Internet.

“Sistem hibrid sebagai jalan keluar supaya perkara ini boleh diselesaikan dengan segera,” katanya.

Sehubungan itu juga, Cuepacs menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil serius perkara itu, selaras dengan dasar Kerajaan Perikatan Naisonal (PN) yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Cuepacs mohon agar satu perjumpaan dengan Perdana Menteri diadakan segera dengan pelelong agar dapat menyelesaikan isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.