SINGAPURA – Harga minyak susut dalam dagangan hari ini susulan kenaikan kes koronavirus dan hubungan tegang antara Amerika Syarikat (AS) dan China, mendorong para pelabur menyelamatkan aset-aset mereka.
Minyak mentah Brent merosot AS$0.10 atau 0.2%, kepada AS$ 43.24 setong pada 0041 GMT sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS didagangkan pada harga AS$41.24 dolar setong, turun AS$0.05 sen.
Kejatuhan minyak mencerminkan pergerakan di pasaran kewangan yang lebih luas di Asia di tengah-tengah kebimbangan mengenai meningkatnya ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia berikutan penutupan kedutaan di Houston dan Chengdu.
Selain itu, lonjakan kes koronavirus global yang sudah melebihi 16 juta.
Namun, Brent berada di landasan untuk kenaikan bulanan keempat berturut-turut pada bulan Julai sementara WTI dijangka meningkat untuk bulan ketiga kerana pengurangan bekalan yang belum pernah terjadi sebelumnya dari OPEC dan sekutunya termasuk Rusia dan juga Amerika Syarikat, telah menyokong kenaikan harga.
Permintaan minyak juga bertambah baik baik berbanding pada suku kedua, menyokong harga, walaupun usaha pemulihan tidak sepenuhnya susulan sekatan pergerakan di Amerika Syarikat dan bahagian-bahagian lain di dunia telah membatasi penggunaannya.
Pelabur juga memerhatikan sebarang kesan daripada ribut Hanna yang melanda pantai Texas pada hujung minggu, ancaman hujan lebat di Texas dan Mexico.
Pengeluar dan kilang minyak dan gas memaklumkan pada hari Jumaat bahawa mereka tidak menyangka ribut yang melanda itu akan mempengaruhi operasi.
Peningkatan harga minyak juga mendorong pengeluar utama dunia untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan eksport.
Jumlah pelantar minyak Amerika Syarikat meningkat minggu lalu untuk minggu pertama sejak bulan Mac setelah pengeluar menambah satu pelantar, menurut data Baker Hughes.
Eksport minyak Rusia dari pelabuhan Barat dijangka meningkat 36% pada bulan Ogos berbanding bulan Julai.
Pengeksport utama dunia, Arab Saudi sekali lagi menduduki tangga teratas sebagai pembekal minyak mentah ke China pada bulan Jun, dengan membekalkan 2.16 juta tong sehari, atau hampir 17% daripada rekod import China pada bulan itu. – MalaysiaGazette