SEOUL – Seorang individu warga Korea Utara yang berpaling tadah sebelum ini dipercayai berenang melintasi sempadan dari barat Pulau Gwanghwa selepas mengharung longkang, yang diatasnya diletakkan kawad berduri, bagi mengelak dikesan pengawal sempadan Korea Selatan, kata para pegawai tentera.

Tindakan lelaki berusia 24 tahun itu hanya diketahui selepas Korea Utara mendedahkan seorang ‘pelarian’ pulang ke tanah air di bandar Kaesong mempunyai simptom koronavirus semalam dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah melaksakan sekatan di seluruh bandar tersebut dan mengisytiharkan darurat bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

“Kami mengenalpasti lokasi spesifik beliau melarikan diri ke Utara dari Pulau Ganghwa, sebuah beg dipercayai kepunyaan lelaki itu dijumpai,” kata jurucakap Ketua Staf Bersama (JCS), Kolonel Kim Jun-rak seperti dipetik agensi berita, Yonhap.

Beliau dipercayai melalui sebuah longkang yang di atasnya terdapat kawad berduri bagi mengelak dikesan pengawal sempadan dan longkang tersebut menuju ke muara Sungai Han yang terletak tidak jauh dari Laut Kuning, kata pegawai itu sambil mencadangkan lelaki tersebut berenang balik ke tanah airnya.

Pada 2017, lelaki itu melarikan diri ke Korea Selatan dengan berenang ke Pulau Gyodong, berhampiran Ganghwa.

Peralatan pengintipan terkini, seperti peralatan penjejakan termal, diletakkan di sepanjang sempadan di wilayah Ganghwa, terletak 2 kilometer dari wilayah Korea Utara.

Pihak berkuasa berkata, mereka tidak mengesan sebarang kesan pagar dipotong.

Tentera Korea Selatan dikritik kerana gagal mengesan tindakan lelaki itu.

“Selepas siasatan menyeluruh, kami akan mengambil langkah-langkah wajar dan menjelaskan secara terperinci,” tambah Kim.

Lelaki tersebut tiba di Pulau Ganghwa dengan menaiki teksi pada 18 Julai lalu, dan siasatan sedang dilakukan bila dia melarikan diri menerusi laluan air itu, menurut para pegawai Seoul.

Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) melaporkan lelaki itu pulang pada 19 Julai lalu selepas melintasi garisan pemisah secara haram.

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan berkata, lelaki tersebut tidak menunjukkan dijangkiti Covid-19.

Polis berkata, mereka mendapat maklumat pada minggu lalu bahawa lelaki itu cuba pulang ke Korea Utara dan dia dihalang daripada meninggalkan Korea Selatan.

Dia disiasat kerana disyaki merogol seorang wanita yang berpaling tadah pada bulan lalu.

“Tentera, polis dan pihak berkuasa berkaitan kini bekerjasama untuk mengetahui insiden ini secara terperinci,” kata seorang pegawai kerajaan. – MalaysiaGazette