Muhyiddin Yassin

TIDAK dinafikan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan hari ini cukup getir. Namun demikian kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diberi pujian kerana beliau tenang mengemudi negara dalam mendepani pandemik Covid-19 dan kesannya serta majoriti tipis sokongan di parlimen yang dimilikinya.

Berikut adalah 6 strategi untuk memastikan kerajaan PN terus kukuh:

1. Strategi Pemulihan Integriti Negara

Strategi ini merujuk kepada komitmen memperkemas atau memulihkan integriti negara iaitu agenda reform yang digagaskan oleh PH tetapi gagal dilaksanakan.

Sememangnya ramai pendukung PN dan PH mahu melihat segala kepincangan yang ada semasa era pemerintahan BN dahulu dapat diperbaiki.

Malah pemimpin BN sendiri mahu melihat usaha-usaha pemulihan itu dapat dilakukan dengan adil dan telus iaitu tidak ditunjangi oleh sentimen menghapuskan lawan politik.

SPRM, PDRM, Jabatan Imigresen, dan institusi kehakiman serta lain-lain agensi berkaitan harus diterajui oleh orang yang betul, bersih, berintegiriti, dan komited agar mereka dapat melaksanakan tugas secara cukup profesional dalam usaha membersihkan nama Malaysia dari sebarang unsur negatif.

Pasti rakyat akan bersama Kerajaan PN jika mereka melihat kesungguhan dan ketelusannya dalam membersihkan nama baik negara.

Usaha ini perlu diberi publisiti yang sewajarnya dan fokus publisiti itu bukan untuk ‘membunuh’ mereka yang dituduh tetapi jelas tertumpu kepada usaha memastikan kesan negatif yang mereka lakukan dapat dihapuskan demi memastikan kemajuan dan kesejahteraan negara dapat dicapai.

Jika ini dapat dilakukan, sokongan MP hatta sebahagian dari MP dari blok PH akan bersama PN secara langsung atau tidak langsung kerana sebahagian dari mereka sememannya benar-benar komited kepada agenda reform negara.

2. Strategi Kementerian Berperanan Memangkin Kesejahteraan Negara

Strategi ini merujuk kepada pendekatan menggunakan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya sebagai jentera memulihkan semangat dan membina harapan baru buat rakyat.

Sebagai contoh kementerian dan agensi berkaitan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar perlu memperkenalkan dasar-dasar baru untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat luar bandar.

Manakala kementerian dan agensi berkaitan belia dan sukan contohnya perlu membangunkan dasar dan program yang mampu menggerakkan dan melibatkan belia secara besar-besaran.

Program belia berteraskan minat mereka contohnya sukan, bela diri, kemasyarakatan, pendidikan,kerohanian, alam sekitar dan sebagainya perlu dibentuk dan dilancarkan secara besar-besaran.

Begitu juga dengan kementerian dan agensi yang bertanggungjawab dengan isu kemiskinan bandar di mana perlu membangunkan dasar dan program bersesuaian.

Banyak inisiatif era BN yang bagus yang boleh diteruskan dengan melakukan sedikit penambahbaikkan kepada kelemahan-kelemahan yang ada khususnya dari aspek perlaksanaan.

Sebagai contoh, program PPA1M iaitu berkaitan pemilikan rumah yang bernilai RM300k wajar dikaji semula agar harganya lebih rendah iaitu sekitar RM150k contohnya.

Begitu juga dengan PR1MA yang menyasarkan berpendaptan isi rumah rakyat antara RM2500 – RM15,000 ditambah baik dengan meletakan jurang pendapatan yang lebih kecil contohnya pendapatan antara RM1200 – RM2000, RM2001 – RM3000 dan seterusnya.

Jurang yang lebih kecil akan membolehkan kerajaan membina rumah-rumah yang benar-benar bersesuaian dengan latar belakang ekonomi rakyat.

Publisiti yang bersesuai iaitu berteraskan keprihatinan kerajaan terhadap setiap lapisan mahupun golongan masyarakat akan mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Dengan kata lain, setiap kementerian dan agensi-agensinya perlu segera bertindak dengan melancarkan dasar serta program bersesusian dan aktif dalam memacu agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

3. Strategi GLC Pemacu Ekonomi Rakyat

Strategi in menjurus kepada peranan GLC sebagai ‘tangan’ kerajaan dalam membantu rakyat khususnya mereka di sektor perniagaan. Gambaran GLC sebagai pesaing dan akhirnya ‘pembunuh’ SME perlu dibetulkan segera.

GLCs perlu menjadi payung, pelindung dan rakan strategik kepada SME khususnya golongan bumiputera. Budaya bermewah-mewah atau habuan luar biasa kepada penjawat utamanya perlu dihentikan.

Budaya kitar semula orang yang sama untuk menerajui GLC juga perlu dihentikan melainkan individu itu benar-benar terbukti rekod kecemerlangan pencapaiannya.

Bebaskan GLC dari budaya tidak sihat ini. Masih ramai rakyat Malaysia di luar sana yang berkelayakan, berpengalaman, berintegriti dan patriotik yang boleh diangkat untuk menerajui GLC.

Kerajaan PN membuat kesilapan besar jika terus mengamalkan budaya kitar semula ini kerana mereka yang dikitar semula ini telah terbukti jika tidak sepenuhnya tetapi sebahagian besar tidak peduli dengan tanggungjawab menjadi payung, pelindung atau rakan strategik kepada SME yang mana SME ini bertanggungjawab mencipta jutaan peluang pekerjaan buat rakyat. Dengan kata lain mereka tidak patriotik.

Di masa yang sama agensi-agensi yang mendukung aktiviti perniagaan SME perlu lebih proaktif, mesra rakyat dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Usaha bersepadu perlu dilakukan untuk menghapuskan segala red tape yang menghalang sistem penyampaian dari dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Pusat bantuan khidmat nasihat perniagaan 24jam wajar diwujudkan buat SME untuk bertanya akan bentuk bantuan yang boleh mereka terima dari kerajaan menerusi kementerian, agensi dan GLC berkaitan.

Dengan publisiti yang betul dan menarik, imej kerajaan akan dapat ditingkatkan di mana masyarakat peniaga atau SME itu dan warga kerjanya benar-benar dapat merasakan yang kerajaan sentiasa berusaha membantu dan bersama mereka. Malahan GLC perlu bergerak ke arah menjadi syarikat antarabangsa yang berjaya iaitu tidak terus bersaing dengan SME di pasaran tempatan.

4. Strategi Komuniti Prihatin

Strategi ini merujuk kepada usaha mengembeleng pemimpin/tokoh masyarakat, NGOs dan seumpamanya menjadi rakan prihatin kebajikan rakyat.

Kerajaan menerusi kementerian dan agensi-agensinya yang berkaitan kebajikan masyarakat perlu berkerjasama erat dengan pemimpin/tokoh masyarakat dan NGOs yang diketahui umum mahupun yang bersifat setempat secara meluas yang banyak membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.

Bawalah mereka bersama dalam merancang dan membangunkan dasar dan program kesejahteraan rakyat.

Beri mereka sokongan yang sewajarnya dalam aktiviti kemasyarakatan mereka. Benarkan agensi-agensi kerajaan yang ada membantu mereka dilapangan. Jangan biarkan mereka bergerak sendirian.

Jangan lihat mereka sebagai pesaing atau melihat tindakan mereka sebagai mendedahkan kelemahan kerajaan dalam menyantuni rakyat tetapi anggaplah mereka sebagai rakyat yang wajar diangkat menjadi ikon masyarakat dan wajar diberi pengiktirafan tinggi di peringkat nasional, negeri mahupun daerah.

Jika kerajaan boleh memberi pengiktirafan kepada ahli sukan atas kejayaan mereka, mengapa tidak dilakukan perkara sama kepada pemimpin/tokoh masyarakat atau NGOs yang tidak bergerak atas platform politik ini pengiktirafan sama jika tidak lebih baik. Ciptalah pengiktirafan-pengiktirafan baru dan jangan hadkan kepada tokoh maal hijrah sahaja contohnya.

Dengan kata lain kementerian dan agensi berkaitan perlu mengenalpasti dan membentuk perancangan bersepadu menerusi kerjasama dengan pemimpin/tokoh dan NGOs berkaitan dalam konteks peringkat penglibatan mereka iaitu nasional, negeri, daerah, dan komuniti setempat.

5. Strategi Perpaduan Negara

Strategi ini merujuk kepada usaha menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum. Imej kerajaan Melayu PN hari ini tidak wajar dijadikan alat untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu.

Benar akan perlunya kepentingan orang Melayu dijaga seperti termaktubnya dalam perlembagaan negara. Namun itu tidak bermakna hak dan kepentingan bangsa-bangsa lain dinafikan.

Kerajaan perlu dilihat sentiasa berlaku adil kepada seluruh rakyat negara ini. Mereka yang lemah wajar dibantu tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik mereka.

Untuk itu kementerian berkaitan perpaduan kaum serta kementerian lain yang boleh menjalankan peranan membantu wajar berkerjasama.

Agensi-agensi kementerian berkaitan, NGOs, institusi pengajian tinggi, sekolah dan seumpanya perlu dijadikan medium mewujudkan dan menyampaikan mesej perpaduan negara. Rukun Negara perlu dibugarkan kembali dan dijadikan teras utama perpaduan rakyat negara ini.

Tokoh-tokoh masyarakat dan akademik perlu diberi ruang dan sokongan untuk menyampaikan mesej-masej perpaduan seluas-luasnya. Malahan menteri dan kepimpinan serta warga kementerian mahupun agensi tersebut perlu dilihat dan terbukti menjadi juara kepada agenda perpaduan negara.

Dasar perpaduan negara yang ada perlu diperkemas dan program perpaduan perlu dilancarkan segera. Rakyat tidak boleh dibiarkan tenggelam dengan mesej-masej kebencian yang sarat dilambakkan di laman sosial media seperti hari ini.

Usaha bersepadu perlu dilakukan dalam membenteras segala anasir yang boleh menganggu ketenteraman awam.

Jangan ambil tindakan kepada mereka yang nampak menentang kerajaan sahaja tetapi semua mereka termasuk pemimpin politik yang memainkan isu-isu sensitif secara tidak bertanggungjawab.

Telah tiba masanya kerajaan bertegas akan perkara seperti ini. Harga yang terlalu mahal seperti rusuhan kaum yang perlu dibayar oleh rakyat dan negara jika budaya buruk ini tidak dibendung.

Publisiti akan program perpaduan ini perlu dirancang dan dilaksana dengan baik dalam menonjolkan nilai perpaduan yang mampu menyentuh hati rakyat. Media sosial dan perdana perlu dimanfaatkan untuk agenda ini.

Kementerian berkaitan perlu bertindak segera dalam memastikan keterpisahan rakyat berasaskan bangsa yang semakin ketara hari ini dapat dibendung dan akhirnya dirapatkan semula menjadi satu masyarakat Malaysia yang boleh hidup secara harmoni dan aman damai.

6. Strategi Ambil Tanggungjawab

Kerajaan perlu memulakan satu budaya baru dalam tadbir urus negara khususnya dalam menilai prestasi menteri, timbalan menteri, pemimpin agensi dan pengerusi GLC.

Budaya ‘merehatkan diri’ dari terus memimpin apabila diri terpalit dengan satu-satu skandal wajar dipupuk. Sewajarnya mereka perlu diberi ruang sebaiknya untuk membersihkan diri di mahkamah.

Untuk itu sistem kehakiman negara perlu bebas dari pengaruh politik. Budaya terus memegang jawatan walaupun nama terpalit dengan pelbagai tuduhan dimahkamah atau menggunakan agensi tertentu untuk ‘membebaskan’ diri dari pertuduhan di mahkamah harus dihentikan.

Negara perlukan pemimpin yang bukan sahaja nampak bersih tetapi benar-benar bersih lagi berintegiriti.

Selagi budaya ini tidak ada dalam sistem nilai negara ini, selagi itulah pemimpin yang korup akan menggunakan jawapan ‘mereka sebagai mangsa dendam politik’ dan ini akan mengagalkan usaha mendidik diri mereka untuk menjadi pemimpin dan rakyat yang bertanggungjawab kepada negara.

Isu ini bukan isu individu yang terlibat tetapi isu nilai yang ingin negara ini bentuk dalam membina generasi masa hadapan yang beintegriti terpuji.

Sehubungan dengan itu, kerajaan PN perlu mendidik para menteri, timbalan, pemimpin agensi dan MPnya agar sentiasa menjaga integriti mereka dan bersedia berundur secara bermaruah apabila terpalit dengan sebarang pertuduhan di mahkamah.

Di masa sama ganti mereka yang dalam siasatan dengan pemimpin lain yang bersih dan berintegriti.

Jika usaha ini dapat direalisasikan maka adalah tidak mustahil untuk rakyat hatta MP dari blok pembangkang memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Sesungguhnya rakyat dahagakan pemimpin dan parti politik yang diterajui oleh mereka yang berprinsip, berintegriti dan berjiwa rakyat.

Akhir kata keenam-enam strategi ini jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik dijangka mampu membawa kerajaan PN melangkah jauh. Buat MP baik dalam kerajaan PN mahupun blok pembangkang, bekerjalah untuk rakyat dan negara dengan tekun dan ikhlas.

Di masa sama, diharap semua MP berpada-pada dalam politik kerana rakyat semakin bijak menilai kepimpinan pemimpin mereka dan budaya politik yang diamalkan.

Jadilah seorang MP yang gigih berkerja dan membela serta memajukan rakyat tanpa mengira samada mereka mengundi anda atau parti anda dalam PRU lalu. Hormati hak mereka tetapi jangan lupa lakukan tanggungjawan anda dengan sebagai MP dengan penuh jujur, amanah dan adil.

Akhir kata selamat bertugas YB. Kurangkan berpolitik, lebihkan berkerja!.

Prof. Dr. Haim Hilman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast