Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kalangan pengeluar pelitup muka dan pemimpin industri yakin dapat memenuhi permintaan mendadak menjelang peraturan wajib penggunaannya yang berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata, industri itu mempunyai kapasiti mencukupi manakala beberapa syarikat juga telah meningkatkan stok masing-masing.

“Malah ada beberapa syarikat yang telah menyatakan minat untuk menceburi bidang pengeluaran pelitup muka ini. Oleh itu, tidak timbul sebarang isu bekalan tidak cukup,” katanya kepada Bernama.

Minggu lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pngguna memaklumkan sidang Dewan Rakyat bahawa bekalan pelitup muka adalah mencukupi berdasarkan pemantauan terhadap pengeluaran dan pengedarannya, termasuk import.

Sementara itu, salah satu pengeluarnya, Top Glove Corporation Bhd mempunyai tiga mesin yang beroperasi penuh dengan jumlah keseluruhan kapasiti berjumlah 8.8 juta helai pelitup muka sebulan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata syarikat itu yang juga pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu telah memulakan usaha pengeluaran pelitup muka pada Jun lepas, khususnya bagi kegunaan di peringkat tempatan.

“Malah, bagi memastikan bekalan bahan mentah cukup, kami telah mendapatkannya daripada beberapa pembekal. Pada masa sama, kami juga mempunyai ruang serta tanah bagi tujuan menambah kapasiti (pengeluaran),” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku kekurangan bekalan pelitup muka itu terutamanya akibat pembelian ketara pada peringkat awal arahan pemakaiannya di tempat awam yang sesak serta di dalam pengangkutan awam.

“Jika itu berlaku pun, ia cuma bersifat sementara. Namun, dengan adanya platform e-dagang, pelitup muka ini banyak dijual secara dalam talian manakala negara seperti China akan mempunyai bekalan mencukupi untuk menampung sebarang keperluan mendadak,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan turut mengehadkan eksport pelitup muka berkenaan.

Mengulas akreditasi daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia mengikut Akta Peranti Perubatan, Lim berkata aspek ini akan memakan masa khususnya bagi pengeluar baharu kerana mereka perlu memiliki pensijilan ISO 13485 untuk berdaftar dengan badan tersebut.

“Perlu diingat selain memakai pelitup muka, aspek pemakaiannya dan dibuang secara betul harus diutamakan selain penjarakan sosial serta kerap membasuh tangan,” katanya.

Pada bulan lepas, pakar Persatuan Industri Perubatan Malaysia dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia mengingatkan bahawa pelitup muka di pasaran perlu digred sewajarnya serta menepati tahap piawaian ditetapkan bagi memastikannya benar-benar dapat memberi perlindungan daripada Covid-19.

Dari segi perlindungan daripada virus itu, Lim berkata prestasi pelitup muka itu kebanyakannya ditentukan mengikut kecekapan penapisan bakteria (BFE) dan kecekapan penapisan zarah (PFE) – ringkasnya, lebih tinggi BFE dan PFE maka semakin cekap prestasinya.

“BFE dan PFE pelitup muka Top Glove adalah melebihi 95 peratus,” katanya.

Beliau turut mengingatkan walaupun ada pelitup muka dengan BFE dan PFE tinggi, namun ia tidak menepati piawaian gred perubatan kerana tidak sesuai dengan parameter lainnya seperti tekanan berbeza, mudah terbakar atau dalam ujian ketahanan percikan.

“Kami menyarankan supaya Malaysia mempertimbangkan untuk mewujudkan ketetapan yang seragam bagi pelitup muka agar ia menepati aspek kualiti dan prestasi produk yang konsisten. Tidak kurang pentingnya adalah membuka lebih banyak kemudahan ujian pelitup muka dengan aspek akreditasi yang lebih ketara,” kata beliau. – MalaysiaGazette