PUTRAJAYA – Malaysia sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) di negara-negara di zon hijau sebelum memberi kebenaran perjalanan ke negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia termasuk membuat ujian calitan ‘swab test’ terhadap pelancong selain mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di rumah sebelum memulakan perjalanan.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dibuat termasuk dengan New Zealand dan Australia namun, kedua-dua negara itu belum lagi bersedia.

“Kami sedang membincangkan SOP tetapi kami belum membuka sempadan,” katanya pada sesi libat urus bersama media di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, salah satu SOP yang diperhatikan adalah untuk melakukan ujian Covid-19 terhadap mereka yang berniat untuk melakukan perjalanan.

“Dia akan menjalani kuarantin di rumah dan pada hari ke-13, orang itu akan diuji lagi.

“Sekiranya hasilnya negatif, maka orang itu akan dibenarkan melakukan perjalanan,” ujarnya.

Pada masa ini, langkah paling penting adalah memperketatkan pemantauan di sempadan, terutama di sepanjang laluaan bagi untuk mencegah kemasukan haram ke negara

Sementara itu, Noor Hisham berkata, hampir sejuta individu telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara ini, Januari lalu.

Jelasnya, setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan sebanyak 949,141 saringan.

“Daripada jumlah itu, 8,943 disahkan positif Covid-19,” katanya.

Menurut beliau, hampir separuh kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan individu dalam siasatan (PUI) dan mereka mempunyai kontak rapat.

“Sebanyak 4,559 kes positif dikesan daripada PUI manakala 3,375 kes terdiri daripada Kluster Perhimpunan Sri Petaling,” jelasnnya.

Beliau berkata, KKM mengesan 258 kes positif hasil daripada aktiviti pengesanan aktif.

Sehingga kini KKM turut merekodkan 751 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya.

Wabak yang bermula di Wuhan, China pada Disember tahun lalu telah menjangkiti 16.49 juta individu seluruh dunia.

Ia juga mengakibatkan 654,327 kematian. – MalaysiaGazette