KUALA LUMPUR – Sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam hari ini, pastinya orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyambutnya bersama ahli keluarga, lebih-lebih perayaan lalu terhalang akibat pandemik Covid-19.
Walaupun kerajaan masih membenarkan rakyat melakukan rentas sempadan dan balik kampung sempena hari raya korban, namun masih ramai warga kota tidak balik ke kampung halaman.
Tinjauan MalaysiaGazette di Jalan Chow Kit di sini malam tadi mendapati orang ramai masih mengunjungi kawasan pasar basah itu untuk mencari barang keperluan untuk juadah hari raya walaupun pada saat akhir.
Ayam, daging, serai, kerisik, daun limau purut, pucuk paku, daun palas dan daun kepala antara bahan utama yang menjadi tumpuan pengunjung sekitar ibu negara.
Menurut Abdul Majid Mohd Kassim, 75, dari Taman Melati, pembelian persiapan raya di saat akhir di Chow Kit tidak pernah mengecewakan malah gerai-gerai yang menjual barang keperluan setiap kali perayaan dibuka sehingga lewat pagi.
“Bila saya turun malam (pasar) ada baru ada barang-barang itu. Harga pun berpatutan malah lebih murah dari tempat lain.
“Chow Kit adalah syurga sayur-sayuran sebab di tempat lain tak jumpa, lebih-lebih sayur kampung segalanya ada di sini senang didapati,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, malam tadi.
Bagi Adek Rucmaini Uncu Pily, 28, Jalan Chow Kit bukan asing bagi dirinya, apatah lagi ketika musim perayaan menjadi lokasi beli-belah bagi persiapan juadah hari raya.
“Biasanya malam kita beli untuk buat masak esok, dalam pukul 5 pagi bolehlah masak, kalau masak malam ini takut rendang atau lontong itu basi.
“Persiapan juadah di saat akhir itu biasa bagi kita yang duduk di bandar, keesokan pagi baru kita masak. Kalau nak bagi jiran atau saudara, pagi kita masak baru boleh tahan lama sikit,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang warga emas, Shahrial Borhan, 63, dari Ampang, dia akan ke Jalan Chow Kit setiap kali hari raya bukan kerana mahu mencari bahan mentah sebaliknya ingin merasai suasa meriah di situ.
“Saya datang cari barang yang tak cukup seperti ayam, tapi saya bawa anak sekali datang ke sini saja berjalan di sini.
“Mana barang dapur yang kurang saya beli laa sikit. Malam ini saya cari ayam dan santan, sebab esok nak buat rendang, tapi pagi kita makan lontong dulu.
“Harga tak murah mana, beli mahal sikit tak apa, apa salah kita bagi unting kepada peniaga di sini,” katanya.
“Setiap kali berlakunya perayaan besar, perniagaan di sini paling terbaik sekali, urusan niaga bagus, jadi orang ramai senang nak membeli-belah.
“Tapi satu masalah yang saya nampak bertahun lamanya terutamanya kemudahan awam, DBKL dan pihak kerajaan sudah buat terbaik, tapi masih tidak selesa bila kita datang ke sini.
“Memang tidak selesa dari segi jalan kcil dan sempit menyebabkan orang ramai sukar untuk meletakkan kenderaan, selalu jalan ini sesak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette