Prosiding RCI Wang Kelian di Putrajaya pada 17 April 2019.

KUALA LUMPUR –   Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru kerajaan segera mengeluarkan laporan dan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai tragedi Wang Kelian yang melibatkan sindiket pemerdagangan manusia dan pelanggaran undang-undang oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, keadilan perlu diberikan kepada yang telah terkorban tanpa mengira siapa pun mereka.

Apa yang lebih penting adalah pengajaran dan tindakan Malaysia dalam menghalang kejadian sebegini berulang lagi pada masa hadapan, yang sehingga kini masih tidak kelihatan.

Sempena hari menentang pemerdagangan manusia, Suhakam berkata, pemerdagangan manusia berterusan wujud di dalam dan melangkaui sempadan negara.

Pemerdagangan manusia merupakan perdagangan yang menguntungkan dan semakin berleluasa di seluruh dunia walaupun ia menyalahi undang-undang.

Mereka yang rentan, terdesak dan tidak mengesyaki apa-apa menjadi mangsa pedagang manusia, dimulakan dengan memperdaya dan memberikan maklumat yang mengelirukan, diikuti dengan ugutan, kekerasan dan keganasan demi mendapatkan keuntungan.

Katanya, mangsa-mangsa yang diperdagangkan mempunyai risiko yang tinggi dieksploitasi secara seksual, dipaksa berkahwin, terlibat dengan atau mengalami jenayah kejam seperti kematian seperti yang berlaku dalam kes penemuan kubur besar-besaran di Wang Kelian, Perlis pada tahun 2015.

Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”, manakala Perkara 6(1) dan (2) menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh ditahan secara abdi dan segala bentuk kerja paksa adalah dilarang.

Dalam pada itu, Suhakam juga menggesa kerajaan untuk memberikan fokus kepada tiga perkara dalam menentang pemerdagangan manusia di negara ini.

Perkara-perkara itu adalah mengenalpasti kelemahan (agar dapat mengukuhkan) infrastruktur penguatkuasaan sempadan Malaysia bagi menghalang pedagang manusia daripada menjalankan aktiviti kejam sebegini.

Selain itu  meningkatkan usaha untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman kepada pedagang manusia dan mereka yang terlibat dalam aktiviti ini dan  menyediakan segala bentuk keperluan termasuk bantuan guaman, kemanusiaan dan akses kepada mangsa pemerdagangan manusia. – MalaysiaGazette