Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Seramai 134 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuklah seorang yang melanggar perintah pengawasan (kuarantin di rumah), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 19 individu telah direman manakala 22 dijamin polis.

Seramai 93 individu pula dikenakan kompoun.

PDRM juga katanya, telah membuat pemantauan SOP Solat Jumaat di 2,294 masjid yang melibatkan 283,355 jemaah dan kesemuanya didapati mematuhi SOP yang ditetapkan mengikut saiz keluasan masjid.

Tambah Ismail Sabri, sejak 24 Julai sehingga 31 Julai 2020, seramai 3,384 individu telah pulang ke tanah air melalui  pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 14 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

Mereka telah pulang dari 23 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

“Semalam, PDRM telah melakukan 2,271 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dari 27 hingga 31 Julai lalu, tindakan telah diambil terhadap enam individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette